Kerajaan lakukan transformasi industri mineral negara

Shamsul Anuar pada sidang media hari ini.
Shamsul Anuar pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedang merangka beberapa transformasi pembangunan industri perlombongan mineral supaya memberi impak lebih tinggi terhadap pendapatan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), nilai keseluruhan sumber mineral negara dianggarkan RM4.1 trillion yang diperoleh daripada tiga kategori iaitu mineral berlogam, mineral bukan logam dan tenaga.

Menurutnya, nilai itu tinggi dan boleh diusahahasilkan dengan menentukan hala tuju baru industri melalui pembangunan secara lebih mampan.

"Pembangunan industri perlombongan mineral di masa hadapan bukan lagi menggunakan acuan dan model seperti dilaksanakan sebelum ini iaitu pengeluaran bahan mentah untuk dieksport terus ke luar negara.

"Sebaliknya mengaktifkan industri hiliran yang berasaskan mineral serta membentuk rantaian nilai dan menjamin bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik.

"Melalui model ini, ia bukan sahaja menguntungkan dari segi lebihan nilai eksport tetapi membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja di Pejabat JMG Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, merujuk kepada statistik 2019, industri berkenaan menyediakan sejumlah 15,275 pekerjaan yang mana 12,766 atau 83.57 peratus adalah kalangan pekerja tempatan.

Katanya, kerajaan yakin, trend permintaan terhadap mineral punya peluang untuk meningkat apatah lagi dengan peningkatan teknologi serta penciptaan produk-produk baru dalam era ibdustro 4.0, produk mesra alam, elektronik dan komunikasi serta tenaga boleh baharu memerlukan material yang efisien berasaskan produk mineral ini.

Artikel Berkaitan:

"Menyedari potensi inilah, kementerian melalui agensi-agensinya akan melaksanakan beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pihak swasta dan industri untuk membangunkan industri mineral huluan dan hiliran secara komprehensif.

"Kita juga sedia mengenal pasti pemain industri luar negara yang berupaya melaksanakan aktiviti eksplorasi sumber mineral dan pemprosesan produk bernilai tinggi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!