VC, selfie penyeri Aidilfitri PKPB

A
A
A

Video call (VC) dan selfie jadi kemestian pada Aidilfitri kali ini. Hampir setiap rakyat saling melakukan VC. Gambar selfie anak dititip untuk tatapan abah di kampung. Kali pertama dalam sejarah di Malaysia, Aidilfitri disambut secara sendirian di rumah masing-masing.

Penulis tidak ketinggalan melakukan VC dengan anak-anak yang ‘jauh di mata tapi dekat di hati’. Normal baharu mewarnai lebaran tahun ini rentetan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada awal pagi lebaran, penulis menerima WhatsApp daripada sahabat yang menetap di Yorkshire, England. Kiriman WhatsApp itu ialah sebuah berita akhbar terkenal Dailymail yang mengupas tentang artificial intelligence atau kecerdasan buatan (AI) boleh menghurai personaliti seseorang menerusi gambar selfie.

Sejak dahulu, penulis percaya tentang penyelidikan itu. Riak wajah seseorang dan getaran body language, sememangnya boleh diteka. Tetapi bagaimanakah AI mengupas personaliti manusia? Mesti ada yang berpersepsi ia sekadar ramalan atau mitos sebagaimana diamalkan di China dan India beribu tahun lalu. Face reading juga dikenali sebagai bidang fisiognomi.

ALLAH SWT menyebut perkara itu dalam Surah al-Ruum [30:29-30] yang bermaksud: “Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjukkan orang yang telah disesatkan ALLAH? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolong pun; Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ALLAH); (tetaplah di atas) fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan terhadap fitrah ALLAH. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Dunia Islam berbangga dengan pakar fisiognomi terkenal iaitu Fakhruddin ar-Razi atau Abu Abdullah Muhammad bin Umar bin Husain al-Taimi dilahirkan di Iran pada 1150M. Ar-Razi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Afghanistan dan meninggal dunia pada 1210M.

Beliau telah menulis lebih 100 buku tentang fisiognomi. Antara yang terkenal ialah Al-Firasah-Daliluka Ila Ma’arifah Akhlaq An-Nas Thabai’ihim wa Ka’Annahum Kitabun Maftuh atau Kitab Firasat Ilmu Membaca Sifat dan Karakter Orang Dari Bentuk Tubuhnya.

Petunjuk

Artikel Berkaitan:

Kitab itu mengkaji tentang ilmu batiniah (tidak terlihat oleh mata kasar) berdasar tanda-tanda lahiriyah (dapat dilihat mata kasar). Ar-Razi menyebut watak seseorang terbahagi kepada enam bahagian, antara lain berdasarkan kepada wajah menunjukkan perilaku seseorang yang terbahagi kepada dua jenis.

Jenis pertama tentang perilaku alamiah yang dipengaruhi watak dan sifat keaslian yang mampu dijadikan petunjuk untuk mengetahui watak seseorang.

Jenis kedua ialah tentang tuntutan akal atau minda dan syari’at atau taklifiyah. Pakar fisiognomi mampu menganalisis keperibadian seseorang dengan cepat dan tepat terutama tentang sifat kesombongan, keramahan, hasrat seksual, kejujuran, kreativiti, kesihatan, ketekunan dan kekejaman.

Justeru, bagaimanakah AI yang dicipta oleh manusia mampu membaca karakter manusia? Malah, AI boleh mencadang senarai bakal pekerja boleh diambil hanya menerusi raut wajah yang menghadiri sesuatu temuduga.

Bidang pemahaman firasat wajah dan bahasa badan telah dikaji secara serius oleh pakar jurutera dan teknologis Higher School of Economics University (HSE) dan Open University for the Humanities and Economics berpengkalan di Moscow Rusia dengan terciptanya sistem AI berlandaskan teknologi rangkaian saraf buatan atau artificial neural network (ANN).

Penulis difahamkan, kelompok jurutera Rusia bersama kumpulan penyelidik itu dapat mentafsir keperibadian seseorang berdasarkan daripada selfie mengguna teknologi pengecaman wajah.

Kesimpulannya, AI kini mencakupi segenap bidang kehidupan manusia. Penulis bercadang untuk meneroka bidang fisiognomi, selain menguasai penyelidikan ini menerusi aplikasi AI. Namun, yang jelas lebaran Aidilfitri kali ini banyak diwarnai dengan VC dan selfie.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!