Durian laris ketika PKPB

Abdul Hadi menunjukkan durian yang dijual secara COD ketika musim PKPB.
Abdul Hadi menunjukkan durian yang dijual secara COD ketika musim PKPB.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekebun di sini tidak menang tangan menguruskan jualan duriannya selepas menerima permintaan luar biasa daripada penduduk di Johor Bahru yang dilakukan secara kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD).

Abdul Hadi Ahmad Sani, 41, berkata, hampir satu tan durian sudah terjual sejak beliau berkongsi di laman sosial Facebook mengenai durian yang boleh dibeli secara COD.

Menurutnya, beliau perlu kreatif menjual hasil durian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding sebelum ini di mana orang ramai makan dan membeli durian di kebunnya seluas tiga hektar di Pekan Nanas Pontian.

Katanya, pada musim lepas sebelum PKP dianggarkan 250 kilogram (kg) durian dijual setiap hari namun jumlah itu meningkat hampir sekali ganda ketika ini.

"Letak sekali sahaja iklan di Facebook pasal durian, berdesup orang komen nak beli. Sampai sekarang masih ada yang telefon, WhatsApp nak beli durian.

"Ada pembeli beritahu terlalu rindu nak makan durian sebab tidak dapat balik kampung sewaktu PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)," katanya.

Abdul Hadi berkata, setakat ini hanya durian kampung sahaja yang gugur dan dijual manakala durian udang merah dijangka gugur pada minggu depan.

"Disebabkan permintaan terlampau tinggi sewaktu PKPB ini, saya juga mengambil durian daripada pekebun sekitar Pekan Nanas dan Pontian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!