Melaka benarkan solat Jumaat hari ini, terhad 40 jemaah
MELAKA - Kira-kira 212 buah masjid termasuk surau yang diberikan tauliah solat Jumaat di Melaka dibenarkan mengadakan solat Jumaat hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azhan Md Samat berkata, bagaimanapun pelaksanaannya terhad kepada 40 orang jemaah selain perlu mematuhi ketetapan diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri dengan mengambil kira trend penularan koronavirus (Covid-19) di negeri tersebut.
"Dianggarkan kira-kira 212 masjid dan surau yang akan mendirikan solat Jumaat berjemaah di masjid, namun bilangan sebenar bergantung pada hari ini sekiranya terdapat masjid yang terpaksa menangguhkannya atas sebab-sebab tertentu.
"Insya-ALLAH pegawai JAIM akan membuat pemantauan di setiap masjid bagi membantu pihak berkuasa seperti polis dan Rela yang akan ditempatkan di masjid supaya tiada individu solat di luar masjid," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, semua jemaah juga diwajibkan membawa sejadah dari rumah dan perlu menggunakan pelitup muka ketika berada di masjid.
Jelas Azhan lagi, antara kaedah pelaksanaan yang ditetapkan termasuk membuat sistem penggiliran di setiap kariah dan keutamaan hanya akan diberikan kepada ahli kariah yang berusia 15 hingga 70 tahun yang akan direkodkan kehadiran selain menjalani ibadah dengan mengekalkan konsep penjarakan sosial.
Sementara itu, tinjauan di Masjid Al-Alami MITC mendapati, petugas masjid sibuk membuat persiapan dan persediaan termasuk membuat tanda penjarakan sosial di ruang solat.
Imam masjid berkenaan, Mohd Safuan Md Isa berkata, persiapan akhir membuka kembali masjid tersebut untuk solat Jumaat hari ini giat dijalankan termasuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JAIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, pengurusan masjid juga mewajibkan setiap kariah yang terpilih hadir solat berjemaah itu perlu membawa MyKad untuk memudahkan maklumat direkodkan selain memastikan umur di antara 15 dan 70 tahun sahaja.
"Memandangkan masjid ini berdekatan pelbagai agensi kerajaan, jadi kami juga akan mengeluarkan surat bagi membenarkan seorang atau dua orang kakitangan kerajaan setiap agensi untuk solat Jumaat di sini pada Jumaat depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!