Tiada pertemuan sulit di kediaman rasmi MB Selangor
SHAH ALAM - Tiada pertemuan sulit antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor seperti yang tersebar di media sosial, semalam.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah mengesahkan terdapat satu mesyuarat diadakan di kediaman rasmi itu tengah hari semalam.
Bagaimanapun katanya, ia adalah mesyuarat di antara Amirudin dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
"Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa terdapat pertemuan sulit di antara Amirudin dengan Mohamed Azmin dan Hamzah," katanya menerusi satu kenyataan, lewat malam tadi.
Terdahulu, Borhan berkata, mesyuarat diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu turut dihadiri Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; kakitangan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Katanya, mesyuarat membincangkan berkaitan usaha menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Selangor.
"Selain itu, perbincangan menyentuh kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan dalam penyesuaian norma baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata beliau.
Semalam, media yang memetik sumber melaporkan terdapat pertemuan sulit di antara Mohamed Azmin, Hamzah dan Amirudin di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu.
Ia berikutan penularan gambar menu makanan yang disajikan kepada 30 tetamu di kediaman rasmi tersebut, semalam dengan mendakwa 20 daripadanya adalah individu bertaraf VVIP.
Pertemuan tertutup itu dikatakan bermula jam 12 tengah hari dan berakhir pada jam 3 petang.
Bagaimanapun hasil tinjauan media semalam, tidak melihat kenderaan rasmi yang membawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahupun Menteri Dalam Negeri itu di lokasi seperti yang disebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!