Baki saingan EPL singkap tirai pertengahan Jun depan
SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali menyingkap tirai pada 17 Jun depan, tiga bulan selepas ditangguhkan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Penangguhan liga susulan pengendali Arsenal, Mikel Arteta disahkan positif Covid-19 pada 13 Mac yang mana sebelum itu perlawanan terakhir menyaksikan Leicester City membenam cabaran Aston Villa 4-0 pada 9 Mac.
Perlawanan pertama pada pertengahan Jun depan bakal menyaksikan Aston Villa menjadi tuan rumah Sheffield United manakala penyandang juara Manchester City menanti Arsenal.
Kedua-dua perlawanan berkenaan sebelum ini ditangguhkan kerana bertembung saingan kejuaraan domestik lain yang menyaksikan setiap kelab melengkapkan 29 perlawanan liga.
Kesemua 20 kelab EPL kemudian akan menghabiskan baki sembilan perlawanan dalam enam minggu di venue tanpa penyokong yang akan dimaklumkan dalam tempoh masa terdekat.
Kesemua pemegang taruh EPL dilaporkan masih meneruskan perbincangan mengenai cadangan lain biarpun secara asasnya bersetuju berkaitan tarikh penyambungan saingan liga.
Pengumuman penyambungan baki saingan liga diputuskan setelah kelab sebulat suara setuju menyambung semula latihan setelah beberapa sesi dilakukan dalam kumpulan kecil dengan mempraktikan penjarakan sosial.
Pemain kini kembali berlatih di bawah pengawasan jurulatih kelab masing-masing disamping dibenarkan untuk melakukan modul latihan seperti sebelum pandemik.
Liga Perdana menegaskan protokol perubatan ketat akan diberikan keutamaan semasa sesi latihan bagi menghindari pemain, jurulatih dan pegawai dijangkiti Covid-19.
Pemain, jurulatih dan pegawai akan menjalani ujian dua kali seminggu - yakni pendekatan paling efektif dalam mengesan jangkitan pandemik berkenaan awal bulan ini.
Liga Perdana menegaskan sejak perlaksanaan ujian berkenaan, sebanyak lapan kes positif dikesan termasuk melibatkan pemain pertahanan Watford, Adrian Mariappa dan penolong pengurus Burnley, Ian Woan.
Gergasi Eropah, Liverpool kini berada di kedudukan teratas saingan EPL dengan 25 mata manakala Bournemouth, Aston Villa dan Norwich City berada di zon penyingkiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!