Covid-19: 8.4 juta orang dijangka hilang kerja di Thailand
Menurut laporan mengenai unjuran dan situasi sosial Thailand bagi suku pertama 2020, sebanyak 2.5 juta pekerja sektor pelancongan, 1.5 juta pekerja perindustrian dan 4.4 juta pekerja dalam sektor perkhidmatan (selain pelancongan) menghadapi risiko kehilangan mata pencarian.
A
A
A
Menurut laporan mengenai unjuran dan situasi sosial Thailand bagi suku pertama 2020, agensi perancangan negara itu berkata, sebanyak 2.5 juta pekerja sektor pelancongan, 1.5 juta pekerja perindustrian dan 4.4 juta pekerja dalam sektor perkhidmatan (selain pelancongan) menghadapi risiko kehilangan mata pencarian mereka.
Laporan itu memaklumkan, jumlah individu yang menganggur di negara itu meningkat kepada 394,520 atau 1.3 peratus pada suku pertama 2020 -- menokok 0.92 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, NESDC berkata, seramai enam juta petani turut terjejas terhadap akibat musim kemarau yang berterusan sejak pertengahan 2019.
“Impak pandemik dan kemarau ke atas pengangguran akan dilihat pada suku kedua 2020 dan lebih ketara pada separuh kedua tahun ini,” kata agensi itu dan menurutnya laporan itu adalah berdasarkan andaian bahawa pandemik itu mampu dikawal.
Berikutan situasi Covid-19 di Thailand yang semakin pulih dengan mencatat jumlah kes harian yang rendah, negara itu telah mula melonggarkan langkah sekatannya dengan membuka semula operasi perniagaan dan lokasi-lokasi di negara itu sejak 3 Mei lepas sebagai fasa pertama kelonggaran berkenaan bagi memacu aktiviti-aktiviti ekonomi.
Fasa kedua kelonggaran tersebut bermula pada 17 Mei, manakala fasa ketiga dijangka bermula 1 Jun.
Sementara itu, NESDC berkata dianggarkan 520,000 siswazah akan memasuki pasaran untuk tempoh Mei dan Julai tahun ini dan melahirkan kebimbangan bahawa mereka mungkin tiada peluang pekerjaan.
Majlis itu telah merendahkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 Thailand dengan pengurangan antara lima dan enam peratus daripada pertumbuhan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus yang diunjurkan pada Februari.
KDNK Thailand menguncup 1.8 peratus pada suku pertama 2020 berbanding suku pertama 2019 berikutan pandemik COVID-19 yang menjejaskan sektor pelancongan dan mengurangkan aktiviti-aktiviti perniagaan.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!