Peniaga ketupat palas hilang tempat tinggal
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga ketupat palas hilang tempat tinggal apabila kediamannya hangus lewat petang semalam di Kampung Beladau Kolam, Manir,di sini.
Rumah yang didiami Nora Abdullah, 48, dan keluarganya terbakar kira-kira 80 peratus di bahagian anjung manakala bilik dan ruang rehat hangus kira-kira lima peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, bomba menerima maklumat pada jam 6.08 petang.
"Seramai 29 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus serta pegawai operasi bergegas ke lokasi.
"Kita mengambil masa 11 minit untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.25 malam," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang membuat ketupat palas dan tiba-tiba melihat api di bahagian tengah rumah.
Ketika kejadian, mangsa dan beberapa lagi ahli keluarganya ada di rumah tetapi hanya sempat menyelamatkan diri.
"Kediaman mangsa adalah jenis separuh kekal menyebabkan api mudah merebak.
"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!