'BN tidak akan menang percuma'

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) tidak akan membenarkan sama sekali Barisan Nasional (BN) mewakili Perikatan Nasional (PN) menang secara percuma pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pekan pada 4 Julai depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meletakkan calon bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini selepas PH memuktamadkan keputusan itu.

"BN dan PN tidak akan mendapat laluan yang mudah di Chini dan kami akan pastikan mereka tidak akan menang percuma kerana PKR Pahang sedang menyenaraikan beberapa nama kepada kepimpinan tertinggi.

"PKR Pahang juga telah menghantar laporan kepada pihak kepimpinan atasan dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini Pas mencadangkan PH atau calon bebas tidak menentang calon daripada PN atau BN supaya tidak berlakunya PRK ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih baik PKR tidak bertanding DUN Chini: Mohd Amar

PRK Chini: Pas sah tidak letak calon

Beliau berkata, jika bertanding merebut kerusi DUN Chini, PH bersetuju memberi laluan kepada PKR untuk meletakkan calon sesuai.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fuziah menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang jelas susulan PRK itu dilaksanakan ketika wabak Covib-19 masih menular.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi) dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

DUN Chini berada di bawah kawasan Parlimen Pekan yang diwakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPR baru-baru ini mengumumkan PRK Chini akan berlangsung pada 4 Julai dan hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala hari mengundi awal pada 30 Jun.

Mereka turut memaklumkan SOP kempen juga sedang diteliti Kementerian Kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!