KUALA LUMPUR- Seorang Instafamous yang dikenali sebagai “Papaicici” dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis. Majistret, Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Rayndi Jubidi, 29 yang dituduh menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis dengan bayaran RM150 untuk sekali perkhidmatan itu. Lelaki itu yang hadir di mahkamah berkemeja-T putih dan berseluar jeans biru ketat serta menyanggul rambutnya, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini, pada 6.50 petang, 27 Mei lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya. Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk denda minimum bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran. Tertuduh membayar denda itu.-Bernama