Teguran Anwar untuk pastikan semua di landasan betul
GEORGETOWN - Wanita PKR menyifatkan teguran Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada ahli dan pemimpin parti yang sudah mula ‘lupa diri’ sebagai nasihat untuk memastikan semua kepimpinan berada di landasan yang betul.
Ketuanya, Haniza Mohd Talha berkata, sebagai sebuah parti reformasi, sesiapa sahaja di dalam parti termasuk mereka yang berjawatan tinggi boleh ditegur sekiranya bertindak tidak betul.
“Saya rasa itu peringatan yang bagus. Namanya pemimpin, jawatan yang mungkin paling tinggi, kalau tak betul perlu ditegur sebab kita adalah parti reformasi. Tak ada lagi kalau dah jadi pemimpin, dah berjawatan tinggi tak boleh ditegur.
“Jadi, itu saya nampak satu perkara yang tidak asing daripada parti PKR. Kita sudah agak terbuka dari segi menegur pimpinan parti. Saya rasa (teguran) itu peringatan kepada semua sebagai presiden parti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Wanita PKR Zon Utara di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar pada Isnin lalu yang menggesa ahli dan pemimpin PKR supaya berhenti ‘bermain wayang’ dan menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti selain memperkemaskan disiplin.
Sementara itu, Haniza yang juga Adun Lembah Jaya berkata, Wanita PKR akan mengusulkan kepada kerajaan supaya segera menggubal Akta Gangguan Seksual di tempat kerja untuk melindungi kaum wanita memandangkan buat masa ini tiada akta khusus diperuntukkan berhubung perkara itu.
“Kebelakangan ini kita terdapat wanita yang tampil ke hadapan menceritakan berapa lama mereka menderita disebabkan gangguan seksual di tempat kerja.
“Namun, tindakan undang-undang sukar untuk diambil kerana memang tak ada akta, hanya ada garis panduan. Kami akan usul perkara ini kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.
Menurutnya, selain itu pihaknya turut memberi tumpuan kepada isu jurang gaji antara kaum wanita dan lelaki yang dilihat masih berlaku ketidakseimbangan.
“Ini sepatutnya tidak berlaku. Sebagai contoh, bagi jawatan pengurus kalau lelaki, dia dapat gaji lebih RM7,000 misalnya tapi yang perempuan dapat RM5,000 sahaja. Kes ini berlaku, masih lagi berlaku.
“Jadi kalau kita nak menuju ke arah negara maju inilah perkara yang perlu kita tangani,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!