Harga daun ketumbar, daun sup naik mendadak

Norfazliana menunjukkan bakul daun ketumbar yang kosong sejak minggu lalu disebabkan harganya julannya meningkat hingga mencecah RM40 sekilogram. Gambar kanan: Norhizam
Norfazliana menunjukkan bakul daun ketumbar yang kosong sejak minggu lalu disebabkan harganya julannya meningkat hingga mencecah RM40 sekilogram. Gambar kanan: Norhizam
A
A
A

MELAKA TENGAH - Rata-rata peniaga sayur di Pasar Transit Bachang, di sini, mengakui harga daun ketumbar dan daun sup meningkat dua kali ganda bermula sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Peniaga Norfazliana Roslan,22, berkata, disebabkan harga daun ketumbar yang tinggi hingga mencecah RM40 sekilogram, dia yang berniaga secara kecil-kecilan sukar untuk mendapatkan bekalan itu daripada pemborong dan pembekal.

Menurutnya, selain itu peniaga menghadapi kekurangan bekalan sedangkan permintaan menjelang musim perayaan meningkat sehingga sekarang.

"Sebelum raya harga daun ketumbar dalam RM20 sekilogram namun sekarang mencecah hingga RM40 sekilogram. Sudah ada pelanggan yang mengeluh sukar nak dapat daun ketumbar.

"Bila harga naik kami pun tak berani nak ambil bekalan daun tersebut sebab terlalu mahal, takut pelanggan tak mahu beli," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang peniaga yang telah 17 tahun berniaga sayur, Umi Kalthum Dolah,56, berkata, dua minggu sebelum musim perayaan daun tersebut sukar diperoleh berbanding sayur-sayuran lain termasuk daun sup yang turut mengalami kenaikan harga daripada RM8 hingga RM10 sekilogram kepada RM20 sekilogram.

Menurutnya, sedangkan ia antara sayur-sayuran yang mendapat permintaan tinggi ketika musim ini dan tidak menolak kekurangan pelanggan di pasar tersebut juga menjadikan peniaga tidak mahu mengambil sayur-sayuran yang mahal.

"Dari sebelum raya harga daun ketumbar naik mendadak, bila dah mahal sangat kami pun tak berani nak jual kepada orang ramai kerana bimbang tiada pembeli dan sayur cepat rosak.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tidak ramai yang mengunjungi pasar ini dan pendapatan peniaga memang terkesan," katanya.

Pelanggan Muhd Khairul Azhar Ya, 36, berkata, majoriti peniaga sayur di pasar itu tidak menjual sayur ketumbar dan sukar untuk memperolehnya.

"Saya terpaksa pergi ke beberapa gerai sayur baru ada peniaga yang menjualnya, kebanyakan mengatakan mahal dan mereka tidak jual," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan dan harga sayuran itu akan turun seperti biasa dan bekalan akan mencukupi dalam tempoh seminggu dua ini.

Menurutnya, bekalan yang terhad berlaku disebabkan petani kurang mengusahakan tanaman tersebut semasa tempoh PKP kerana kekurangan pembeli terutama apabila restoran-restoran ketika itu tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) negeri, bahawa bekalan mencukupi menjelang minggu hadapan apabila penanaman daun ketumbar telah dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

"Memandang proses penanaman daun ketumbar mengambil masa kira-kira 45 hari, di mana bekalan daun ini diambil dari Cameron Highlands, jadi saya harap pengguna dapat bersabar dan masalah kekurangan bekalan serta harga naik dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!