Tiga ADUN Bersatu Selangor bantah pemecatan Tun M, empat ahli
SHAH ALAM - Tiga ADUN Bersatu Selangor membantah pemecatan keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad serta empat Ahli Parlimen Bersatu yang dimaklumkan melalui surat oleh Setiausaha Kerja Bersatu, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Sallehudin Amiruddin; Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar menerusi kenyataan media hari memberitahu, tindakan Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya itu tidak relevan dan bertentangan dengan perlembagaan parti.
"Tindakan ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan parti 10.2.2 dan 10.2.3 kerana lima ahli berkenaan tidak pernah mengisytiharkan keluar parti mahu pun menganggotai parti lain.
"Pemberhentian keahlian tersebut tidak melalui proses yang telah ditetapkan Perlembagaan Parti dan tiada surat tunjuk sebab diminta. Mereka tidak pernah dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parti," katanya.
Katanya, pemecatan lima ahli Bersatu itu merupakan tindakan tidak profesional.
"Tindakan ini tidak telus, dilakukan secara tergesa-gesa dan memberikan persepsi buruk terhadap parti terutama dari aspek kepimpinan individu atau kumpulan yang mengeluarkan arahan tersebut," katanya.
Dalam kenyataan sama, ketiga-tiga ADUN Bersatu berkenaan turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Terdahulu, lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat daripada parti itu serta-merta semalam.
Berdasarkan surat pemecatan yang dikeluarkan parti itu, selain Dr Mahathir yang juga bekas pengerusi Bersatu, turut dipecat ialah Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tiga pemimpin lain yang dipecat keahlian ialah Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah yang dilihat sehaluan dengan Dr Mahathir.
Kelima-lima mereka dipecat atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Mereka tidak duduk di bangku blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri yang juga Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
Surat itu ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!