Orang Asli pun ada elektrik tapi kami...
CAMERON HIGHLANDS - Penduduk di perkampungan tersusun Mawar Tepian Desa (MTD), Kampung Raja di sini berharap masalah ketiadaan kemudahan asas yang membelenggu sejak 20 tahun lalu dapat diselesaikan.
Salah seorang penduduk, Saleh Mat Saman, 63, berkata, ketiadaan elektrik dan bekalan air bersih menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian.
Katanya, untuk mendapatkan bekalan elektrik mereka terpaksa menggunakan generator berharga RM3,000 ke atas.
"Generator ini setiap keluarga kena beli. Satu hari saja terpaksa belanja RM20 untuk minyak generator, kalau sebulan dah RM600.
"Itu sangat membebankan tapi kami terpaksa. Kalau ada elektrik, kos tidaklah setinggi ini," katanya kepada media selepas lawatan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas di kampung itu, hari ini.
Katanya, untuk bekalan air pula mereka menggunakan air bukit dan membina tangki sendiri.
Dia turut mendakwa, semua masalah itu sudah disuarakan kepada wakil rakyat tetapi tiada tindakan diambil.
"Banyak sangat wakil rakyat datang sejak 1999. Mereka semua janji akan usahakan tetapi sampai sekarang tidak ada apa.
"Saya minta jasa baik wakil rakyat yang baharu nanti untuk selesaikan masalah ini," katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ramlah mendakwa, dia susah lali dengan janji wakil rakyat sebelum ini.
"Wakil rakyat semua pernah datang tapi sama saja. Mereka kata nak bagi elektrik, kami pun seronoklah.
"Tapi bila menang saja, tiang pun cabut. Saya nak undi BN pun sakit hati," katanya.
Katanya lagi, kehidupan mereka lebih sukar berbanding Orang Asli di pedalaman.
"Isu ini memalukan kerajaan sebab Orang Asli pun dapat bekalan elektrik, takkan kami tak boleh?," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!