'Terima kasih ustaz selamatkan adik'
TELUK INTAN - Seorang daripada lima remaja perempuan yang hampir lemas dalam kejadian kereta terjunam ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah kelmarin masih menerima rawatan di Hospital Teluk Intan di sini.
Remaja berusia 18 tahun itu berjaya diselamatkan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan sempat diberi bantuan pernafasan oleh seorang pengguna jalan raya selepas didapati tidak sedar dalam kejadian itu.
Kakak ipar mangsa, Nurul Hidayatul Akma Salihan, 33 berkata, adik iparnya itu kini stabil dan dalam pemerhatian pihak perubatan selepas paru-parunya dimasuki air akibat kemalangan itu.
"Semuanya okay dan doktor masih pantau kerana takut jangkitan kuman sebab paru-parunya masuk air.
"Adik tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru selamatkan lima remaja hanyut
Sumbangan khas untuk guru selamatkan remaja lemas: MB Perak
Remaja hanyut diselamatkan guru KAFA diambil keterangan
'Saya reda jika 'pergi' ketika bantu mereka'
Menurutnya, keluarganya berhajat untuk menemui hero yang bergadai nyawa menyelamatkan adiknya itu.
"Kami tidak tahu siapa individu yang selamatkan adik kami sehinggalah berita ini tersebar di Facebook.
"Setakat ini kami belum berjumpa dengan ustaz tetapi saya ada berhubung dengannya hari ini dan menyampaikan hajat untuk bertemu setelah adik sembuh nanti," katanya.
Mengenang kembali kejadian itu, Nurul Hidayatul Akma berkata, keluarganya tidak boleh membayangkan keadaan genting yang dihadapi kesemua mangsa sekiranya guru tersebut tidak melalui di kawasan itu.
"Kami tidak boleh nak bayang dia tenggelam bersama kereta, tambahan kami tahu dia tidak pandai berenang.
"Laluan itu pula sunyi dan jarang sekali dapat lihat kenderaan melalui kawasan tersebut. Mujur ustaz lalu sekaligus menyelamatkan mereka," katanya.
Katanya, keluarganya bercadang untuk bertemu dengan guru tersebut dalam tempoh terdekat untuk menyampaikan saguhati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!