Masjid al-Aqsa dibuka semula Ahad ini

Semburan nyahjangkit dilakukan di kawasan pekarangan al-Aqsa menjelang pembukaan semula masjid itu ketika solat Subuh pada Ahad ini. - Foto Agensi
Semburan nyahjangkit dilakukan di kawasan pekarangan al-Aqsa menjelang pembukaan semula masjid itu ketika solat Subuh pada Ahad ini. - Foto Agensi
A
A
A

AMMAN - Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis akan dibuka kepada para jemaah pada Ahad ini selepas ia ditutup selama lebih dua bulan untuk membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Wakaf Islam yang ditugaskan untuk menjaga masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu bersetuju membenarkan solat jemaah didirikan di al-Aqsa mengikut garis panduan untuk mencegah wabak tersebut.

Jurucakapnya, Khalil Assali berkata, jemaah yang hadir ke al-Aqsa perlu mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Palestin.

"Kami mengarahkan para pengawal untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesesakan terutamanya di pintu masuk masjid," katanya.

Pembukaan semula masjid ketiga paling suci orang Islam itu dijangka menarik sejumlah besar jemaah yang tidak mahu melepaskan peluang berjemaah buat kali pertama untuk solat Subuh.

Sementara itu, Pengarah Dana Diraja Hashemite untuk Pemulihan al-Aqsa, Wasfi Kailani memaklumkan segala persiapan yang diperlukan telah dibuat untuk memastikan keselamatan para jemaah.

"Seluruh kompleks al-Aqsa dinyahkuman dan lakaran bulatan juga sudah dibuat untuk memastikan para jemaah melaksanakan langkah penjarakan sosial," katanya.

Menurutnya, mereka turut menggunakan bantuan sukarelawan tempatan untuk memantau para jemaah bagi memastikan pembukaan semula masjid itu berjalan lancar dan pematuhan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, para jemaah juga dinasihatkan untuk memakai topeng muka dan sarung tangan serta membawa sejadah sendiri.

Setakat ini, Palestin merekodkan 435 kes jangkitan dan tiga kematian akibat Covid-19. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!