Keahlian Tun M sudah terhenti, tidak perlu Lembaga Disiplin

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri sekali) mengadakan sidang media yang diadakan di Menara Yayasan Selangor. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri sekali) mengadakan sidang media yang diadakan di Menara Yayasan Selangor. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

PETALING JAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk tindakan susulan kerana keahlian mereka sudah terhenti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memaklumkan kepadanya perkara itu tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin.

Menurutnya, Megat Najmuddin berpendapat kelima-lima pemimpin tersebut tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana keahlian mereka sudah terhenti serta- merta selaras Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 dalam Perlembagaan Bersatu.

"Kita terima banyak aduan berkenaan Dr Mahathir dan empat pemimpin itu dan semua aduan tersebut dirujuk kepada Lembaga Disiplin Bersatu.

"Dalam jawapan balasnya, Megat Najmuddin menyatakan pendirian berkenaan aduan yang dikemukakan.

"Beliau berpendapat kes membabitkan kelima-lima mereka tidak perlu dirujuk untuk tindakan Lembaga Disiplin kerana mereka bukan lagi ahli Bersatu menurut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa pemecatannya bersama empat lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT) tidak melalui Lembaga Disiplin parti tersebut.

Empat pemimpin terbabit adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Dr Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamzah mendedahkan bahawa keputusan Bersatu untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) diputuskan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari lalu yang dipengerusikan Dr Mahathir sendiri.

"Pengumuman keputusan MPT telah diumumkan oleh Tan Sri Presiden, sebagai Pemangku Pengerusi pada 24 Februari lalu selepas Dr Mahathir meletakkan jawatannya pada hari yang sama," katanya.

Tambah beliau, sebagai Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, Muhyiddin juga telah memberhentikan Senator Datuk Marzuki Yahya melalui notis yang bertarikh 18 Mac berkuatkuasa serta-merta.

"Selanjutnya pada 26 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin telah melantik saya sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan Senator Datuk Marzuki.

"Dengan pelantikan ini, semua arahan atau kenyataan yang dikeluarkan Senator Datuk Marzuki yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tidak sah serta merupakan salah guna kedudukan," katanya.

Berikutan itu, Hamzah menyeru semua ahli Bersatu untuk merapatkan saf dan menyokong serta mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu merangkap Pemangku Pengerusi sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan Malaysia.

"Saya yakin dengan pengalaman beliau, Tan Sri Muhyiddin mampu untuk menangani isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi negara terutamanya dalam sektor ekonomi dan politik, khususnya ketika krisis penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan seluruh dunia," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!