Tahniahlah YAB Sanusi

A
A
A

Beberapa hari lepas, sempatlah saya menonton satu wawancara Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Kedah yang baharu. Wawancara tersebut dikendalikan pula dalam talian oleh sebuah portal media yang berkaliber juga.

Dalam wawancara tersebut, sedihlah juga hati saya apabila YAB memberitahu yang beliau sebenarnya berasal daripada keluarga miskin. Mempunyai 13 adik-beradik dan berasal dari Sik pula. Saya terfikir juga bahawa orang dulu-dulu walaupun miskin tapi memiliki rumah dan tanah sendiri.

Orang zaman sekarang kalau miskin mungkin tidak memiliki apa-apa. Rumah pula sewa, tanah jauh sekali. Lebih-lebih lagi keadaan sekarang yang serba mencabar ini. Sengaja saya cuba membandingkan akan diri saya yang tidak mempunyai harta.

Maka berkata YAB lagi, bahawa antara misi utamanya adalah untuk membebaskan rakyat jelata Kedah daripada masalah kemiskinan. Seronoklah juga saya mendengarnya. Bukan apa, Kedah ini telah melahirkan ramai tokoh yang hebat juga.

Antaranya ialah Perdana Menteri yang berkuasa selama 22 tahun. Tetapi saya berfikir juga, kenapa selama itu walaupun mempunyai tokoh yang hebat dan mempunyai kuasa, tetapi masih tidak berjaya mengeluarkan rakyat Kedah daripada kemiskinan.

Sebenarnya baguslah niat YAB itu. Cuma saya teringat pula kepada pepatah lama, mengatakan memetik lidah tidak bertulang. Lidah tidak bertulang ini senanglah untuk digulung tarik, jelir dan sebagainya.

Kemudian YAB Menteri Besar Kedah yang baharu ini ada juga memberitahu bahawa beliau telah lama berkecimpung dalam arena politik ini. Kata beliau, sejak berumur 16 tahun lagi beliau sudah mendaftarkan diri sebagai ahli Pas.

Pelbagai jawatan yang sudah disandang oleh beliau dalam parti. Sehinggalah sekarang menjadi Menteri Besar pula. Berkatalah beliau: “Ada orang kata menjadi Menteri Besar ini adalah tangga tertinggi. Tetapi bagi sayalah belum lagi. Masih ada lagi tangga yang tinggi. Saya mungkin akan menaiki lagi tangga itu tetapi tidak tahulah akan memegang jawatan apa.”

Artikel Berkaitan:

Mempunyai cita-cita yang tinggi ini patut dicontohi oleh anak-anak muda kita. Jangan patah semangat jika tidak berjaya. Selagi boleh dikejar, kejarlah hingga ke langit. Parti politik

Berbanding dengan saya pula, tidak ingatlah saya sejak bila didaftarkan menjadi ahli sebuah parti politik. Cuma seingat saya, ketika pulang dari sekolah, ibu saya adalah memberitahu,

“Aku daftar doh mung jadi ahli.”

Maka terkejutlah saya yang masih bersekolah ketika itu. Memandangkan kalau dikira umur saya dan YAB ini sama, maka lama jugalah saya menjadi ahli parti politik agaknya.

Ada ketika moderator bertanya pula, “Apakah komen YAB apabila dikatakan telah mengkhianati mandat rakyat?”

Jawapan YAB mengejutkan saya juga. Bercucuranlah air mata saya mendengar jawapan YAB yang menjawabnya dengan tersenyum sipu begitu. Saya berharap YAB dapatlah berfikir semula akan jawapan yang diberikan itu.

Bak kata pepatah lama lagi, siang melihat-lihat, berkata malam mendengar-dengar. Bukan apa, takut ada yang menarik muka 12 pula mendengar jawapan YAB itu.

Menyatakan bahawa rakyat sebenarnya memilih wakil rakyat dan wakil rakyat seolah-olah bebas untuk membuat pakatan atau menentukan dengan siapa untuk bekerjasama adalah amat melukakan hati.

Ini kerana rakyat memilih bukan berdasarkan wakil rakyat sahaja. Tetapi berdasarkan kepada parti dan manifesto juga. Kalau menurut pendapat YAB, ia seolah-olah boleh melompat ke sana ke mari, maka tidak perlulah diadakan pilihan raya.

Lebih baik berpakat sahaja dengan parti lain untuk berkuasa. Kemudian lantik diri sendiri dan sesiapa sahaja yang berkenaan untuk jadi Exco itu dan ini.

Hubaya-hubaya, jangan dibiarkan rakyat jelata air matanya jatuh ke perut. Sementara YAB seperti belut jatuh ke lumpur pula apabila berkuasa.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan yang bersopan santun dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!