Quo vadis parti Bersatu?

A
A
A

Khamis lalu, setelah lima hari berlebaran, kita menerima berita pemecatan lima tokoh utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Pemecatan mereka yang merupakan antara pengasas parti Bersatu memang mengejutkan, tetapi sudah dijangka. Memang selepas ‘Langkah Sheraton’ bermula, ramai penganalisis meramalkan Bersatu bakal berantakan.

Mungkin ramai yang bersetuju yang sejak dari awal penubuhannya Bersatu tidak memiliki kekuatan sebagai sebuah parti politik. Di permulaan, strategi Bersatu sebagai alternatif kepada UMNO dalam memancing undi orang Melayu di kawasan separa bandar dan luar bandar tidaklah dianggap kuat untuk mencabar kekuatan UMNO ketika itu.

Sentimen rakyat yang kuat mahukan perubahan, kepercayaan serta nostalgia terhadap kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudiannya disokong oleh sebahagian veteran UMNO yang masih berpengaruh ternyata menjadi buat Bersatu. Akhirnya bukan sahaja Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat, malah turut mengepalai kerajaan PH di Johor, Perak dan Kedah.

Namun begitu, selepas semua kejayaan itu, Bersatu ternyata gagal membentuk kekuatannya yang sebenar. Kegagalan PH menangani pergolakan dalaman mereka serta kekalutan mengurus mandat dan harapan rakyat memakan kredibiliti Bersatu, terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Sentimen high expectation, high frustration rakyat terhadap Bersatu akhirnya dijelmakan dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenyih dan Tanjung Piai apabila parti itu kalah dan hilang kerusi yang dimenangi tak sampai setahun pun.

Sehingga hari ini, Bersatu dilihat masih terkial-kial untuk memposisikan parti mereka dalam politik negara. Langkah Sheraton masih membolehkan Bersatu memegang tampuk pemerintahan negara, walaupun berganti orang sahaja. Tetapi kelihatan Bersatu semakin lemah pengaruhnya. Suatu ketika, Bersatu menguasai Kabinet menerusi penguasaan jawatan-jawatan utama di kementerian. Dalam masa sama menguasai pentadbiran tiga negeri yang strategik bagi membina dan memperluaskan pengaruh dan kekuatan parti itu dalam politik.

Setakat ini, approval rating Muhyiddin masih tinggi dalam kalangan rakyat. Pemposisian beliau sebagai Perdana Menteri cemerlang dengan tindakan yang bijak terutamanya ketika wabak Covid-19 dilihat banyak membantu.

Ditambah pula dengan ‘restu diraja’ ketika persidangan Parlimen yang lalu serta tersingkirnya lima seteru langsung beliau dalam Bersatu, boleh dikatakan kedudukan beliau selamat buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, daripada perspektif yang besar, Bersatu pimpinan beliau masih belum cukup kuat. Pembesaran Kabinet daripada 27 ke 32 menteri penuh (dengan 38 timbalan menteri) menyaksikan Bersatu masih menguasai Kabinet walaupun di belakang UMNO dari segi penguasaan kerusi Parlimen.

Untuk rekod, kedudukan kerusi Kabinet sekarang ialah Bersatu sebanyak 11 kedudukan (dengan 14 timbalan menteri), UMNO sembilan (sembilan timbalan menteri), Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga (lima timbalan menteri), Pas tiga (lima timbalan menteri), MCA dua (tiga timbalan menteri) serta MIC dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing satu manakala Parti Solidariti Tanah Air (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendapat satu timbalan menteri.

Persoalannya bagaimana Bersatu hendak mengimbangi persaingan dan politik dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) yang lebih besar berbanding terdahulu ketika dalam PH. Kehilangan dua negeri sudah tentu akan mengurangi pengaruh Bersatu. Ini ditambah pula dengan persaingan yang bakal berlaku antara tiga parti utama orang Melayu iaitu Bersatu, UMNO dan Pas sekiranya pilihan raya berlaku pada bila-bila masa.

Mampukah kompromi politik antara mereka dicapai? Yang paling penting sudah tentu apa pula naratif Bersatu kali ini selepas berjaya menumbangkan si kleptokrat, namun sekarang sama-sama bergandingan pula di Putrajaya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!