Didenda baca al-Quran jika langgar PSBB di Indonesia
JAKARTA - Pelbagai denda unik dikenakan pihak berkuasa Indonesia ke atas pesalah yang melanggar langkah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selepas negara itu mula mengerahkan kira-kira 340,000 anggota keselamatan ke lebih 20 bandar untuk memantau pematuhan orang ramai.
Di wilayah Bengkulu, seramai 40 anggota polis dikerah untuk mengenal pasti pelanggar langkah PSBB dan mengarahkan mereka menggantung plakad tertera ayat yang berjanji akan memakai topeng muka dan melakukan penjarakan sosial pada masa akan datang.
“Gambar pelaku itu kemudiannya dimuat naik ke media sosial untuk memberi peringatan kepada orang lain. Penduduk di Bengkulu masih belum sedar tentang kepentingan mematuhi peraturan tersebut terutamanya tentang pemakaian topeng muka dan larangan berkumpul dalam kumpulan yang besar,” kata Ketua Agensi Perintah Awam, Martinah.
Di wilayah Aceh, individu yang melanggar peraturan kesihatan itu akan diarahkan membaca al-Quran manakala penduduk bukan Islam akan diberi teguran.
Di Jakarta pula, mereka yang gagal mematuhi langkah PSBB akan berdepan denda membersihkan kemudahan awam termasuk tandas sambil memakai ves tertera ‘pelanggar peraturan’.
Di kabupaten Sragen, timur Jawa Tengah, pesalah akan ‘dipenjarakan’ di rumah yang dipercayai penduduk setempat sebagai ‘berhantu’.
Setakat ini, Indonesia yang mempunyai populasi lebih 260 juta penduduk telah merekodkan lebih 24,500 kes jangkitan dan 1,496 kematian. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!