Covid-19: Trump putuskan hubungan dengan WHO
WASHINGTON - Presiden Donald Trump semalam mengumumkan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi memutuskan hubungan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) susulan organisasi itu gagal menangani penularan koronavirus (Covid-19).
“Kerana mereka gagal melaksanakan apa yang dituntut dan amat memerlukan pembaharuan. Hari ini (Jumaat) kita akan putuskan hubungan dengan WHO,” katanya kepada pemberita.
Presiden itu berkata, dana yang sepatutnya disalurkan kepada WHO sebaiknya akan digunakan untuk keperluan kesihatan global lain.
“Dunia mahukan jawapan dari China tentang virus ini. Kita mesti telus,” tambah Trump.
Trump pada mulanya menggantung dana kepada WHO bulan lalu atas dakwaan salah urus pandemik yang meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.
Kemudian, 10 hari lalu, Trump menuduh organisasi yang beribu pejabat di Geneva itu menjadi boneka China.
Beliau juga berkata, AS akan membekukan terus dana jika tiada penambahbaikan substantif dibuat untuk menangani pandemik Covid-19 dalam tempoh 30 hari.
Beijing sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Trump bahawa China lambat memberi amaran ketika virus Covid-19 mula dikesan di Wuhan pada Disember lalu.
Menurut Beijing, Washington cuba melepaskan tanggungjawab kepada WHO dan enggan mengakui lambat bertindak untuk mengekang wabak di AS.
AS merupakan penyumbang dana terbesar WHO dengan sekurang-kurangnya AS$400 juta (RM1.7 bilion) disalurkan pada tahun lalu. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!