[VIDEO] Angkut pasir sungai 250 meter demi 'mahligai' impian

Dua beradik ini membuat sendiri bata blok untuk membina rumah mereka.
Dua beradik ini membuat sendiri bata blok untuk membina rumah mereka.
A
A
A

PASIR PUTEH - Dua beradik sanggup mengerah keringat dengan memunggah pasir sungai sejauh 250 meter untuk dijadikan sebagai bata blok bagi merealisasikan impian memiliki sebuah 'mahligai' selesa dalam meneruskan hidup.

Muhammad Hakim Hakimi Rusdi, 24, dan Mohd Haizul Naimi, 21, sanggup 'bermandi' peluh memastikan hasrat untuk hidup selesa dengan memiliki rumah sendiri bersama adik bongsu mereka Nurin Amalin,14, menjadi kenyataan.

Buat masa ini ketiga-tiga beradik itu menumpang berteduh di rumah ibu saudaranya Wan Norhasnida Wan Nordin, 33, di Kampung Panggong sejak kematian bapa mereka sepuluh tahun lalu.

Mereka kemudiannya reda hidup 'berhimpit' di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik ibu saudara yang juga ibu tunggal bersama empat anak berusia antara enam hingga 15 tahun.

Muhammad Hakim Hakimi berkata, melihat kepada situasi itu beliau dan Mohd Haizul Naimi nekad untuk membina sendiri rumah walaupun berdepan kekangan kewangan.

"Sepupu kami itu sudah besar jadi banyak perkara yang perlu diberikan perhatian terutama melibatkan aspek aurat.

"Jadi kami nekad memulakan 'projek' dengan membuat bata blok sebagai permulaan menggunakan upah hasil kerja kampung," katanya kepada media di sini hari ini.

Muhammad Hakim Hakimi (kiri) dan Mohd Haizul Naimi memunggah pasir yang diambil dari sungai sejauh 250 meter untuk dijadikan sebagai bata.
Muhammad Hakim Hakimi (kiri) dan Mohd Haizul Naimi memunggah pasir yang diambil dari sungai sejauh 250 meter untuk dijadikan sebagai bata.

Artikel Berkaitan:

Kegigihan dua beradik itu yang berusaha membina rumah sendiri mendapat perhatian sehingga kisah mereka itu dikongsi orang ramai.

Menurutnya, walaupun ia bukan satu kerja mudah, namun mereka tetap istiqamah kerana sudah mempunyai sebidang tanah milik datuknya untuk dijadikan sebagai tapak rumah impian itu.

Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila abang sulung, Mohd Hafiz, 27, yang bekerja sebagai pembantu pasar malam di Kuala Lumpur turut menghulurkan bantuan bagi merealisasikan impian itu.

"Sebelum kematian ayah, kami adik-beradik tinggal di rumah peninggalan datuk tapi runtuh selepas dimakan anai-anai. Saya pernah buat permohonan untuk dapatkan bantuan rumah tapi tiada sebarang maklum balas.

"Melalui duit yang ada hasil upah bekerja sebagai penebang pokok dan tanam padi kami beli simen dan buat bata sendiri," katanya.

Tiga beradik berdiri di hadapan tapak rumah yang bakal dibina mereka sendiri.
Tiga beradik berdiri di hadapan tapak rumah yang bakal dibina mereka sendiri.

Katanya, walaupun rumah yang bakal dibina itu hanya pondok kecil namun sudah memadai buat mereka empat beradik.

"Sejak kematian ayah, mak, Mazita Mat yang berusia 48 tahun tinggal di Terengganu selepas berkahwin baharu," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 1645-8408-7504 atas nama Muhammad Hakim Hakimi Rusdi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!