Tiada keperluan tukar 'pemandu' di Kelantan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - "Tidak perlu tukar 'pemandu', pemandu yang ada ini masih boleh bawa, tidak mengantuk pun lagi." Demikian kata Naib Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi.

Menurutnya, kepimpinan kerajaan negeri sedia ada turut disifatkan terbaik dan mereka juga membuktikan keupayaan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Exco yang sedang mempengerusikan portfolio masing-masing ketika ini juga bukanlah yang mempunyai pengalaman sehari dua dan keberadaan mereka tidak sepatutnya dipertikaikan kecuali terdapat alasan tertentu memerlukan mereka berundur.

"Setiap orang boleh bagi idea untuk masukkan UMNO dalam kerajaan negeri, untuk masukkan orang itu ini, keluarkan orang itu dan ini tapi hakikatnya buat apa tukar 'driver' kalau mereka masih belum mengantuk," katanya.

Terdahulu, Penyelaras Liga Rakyat Demokratik Kelantan, Mohd Afiq Ayob sebelum ini mencadangkan pemimpin UMNO Kelantan perlu diberi peluang membarisi jawatan-jawatan utama dalam kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri bagi mengukuhkan semangat Perikatan Nasional dan juga Muafakat Nasional.

Beliau berkata, Kelantan dilihat sebagai negeri terbaik untuk membuktikan pengukuhan antara kedua-dua parti dan ia perlulah dilakukan secara lebih baik dengan menyerap pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan negeri apatah lagi katanya, kebanyakan pemimpin UMNO bukanlah calang-calang kerana mempunyai kredibiliti dan pengalaman dalam pentadbiran.

Beliau turut menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk ​Md Alwi Che Ahmad sebagai pemimpin yang layak mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan manakala barisan Exco pula boleh diisi ADUN daripada UMNO seperti ADUN Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!