'Sebelum meninggal akak nak tinggalkan sesuatu buat semua'
PELAKON serba boleh, Noorkhiriah Ahmad menyediakan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya bagi menghantar dan mengebumikan jenazah sebagai kerja amal tanpa mengenakan bayaran.
Norkhiriah berkongsi hasratnya itu di Instagram dan disambut baik oleh pengikutnya.
"Alhamdulilah lepaskan kerana ALLAH. Akak sayang, maka akak jadikan kereta belakang ini van jenazah. Bagi yang memerlukan dialu-alukankan dan perkhidmatan percuma," tulisnya.
Dalam pada itu, beliau juga memohon doa supaya usahanya berjaya dan terus istiqamah.
"Melangkah dengan yakin dengan apa yang akan dibuat ini. Mohon doakan akak, bohong akak cakap kalau tak takut #vanjenazah...
"Akak tak kaya tapi sebelum meninggal akak nak tinggalkan sesuatu buat semua. Takat cerita dekat tv (televisyen) itu jangan kira. Jangan kira dosa pahala orang lain. Semoga kita istiqamah dalam perjuangan diri sendiri, Amin," tulisnya.
Sementara itu, peminatnya bersyukur di atas perubahan pelakon drama Nur itu dan mendoakan niat murninya dipermudahkan oleh ALLAH SWT.
"Syukur Alhamdulillah," tulis @alia_u7.
Kata @diiaz, "Kebaikan yang ikhlas dibalas jua dengan kebaikan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!