Tindakan duduk di blok pembangkang calar maruah parti
KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menyifatkan lima ahli Parlimen daripada parti itu yang bertindak duduk di blok pembangkang ketika Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai perbuatan mencalar maruah serta keutuhan parti.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Terengganu sebulat suara berpendirian setiap ahli parti tanpa memilih 'warna' wajib mematuhi Perlembagaan dan undang-undang parti.
"Tindakan memilih untuk duduk di blok pembangkang di dalam Dewan Rakyat adalah bertentangan dengan peraturan sedia ada dan membawa kesan sebagaimana dinyatakan di dalam peruntukan yang sama," katanya menerusi satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Keahlian terlucut serta-merta bukan dipecat: Muhyiddin
Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti
Keahlian Tun M, 4 lagi terhenti sebab langgar perlembagaan parti
Keahlian Tun M sudah terhenti, tidak perlu Lembaga Disiplin
Krisis Tun M, Muhyiddin: Ke mana arah Bersatu?
Kenyataan itu dikeluarkan bersama tujuh lagi Ketua Bahagian Bersatu di Terengganu.Turut menyokong kenyataan itu ialah Bendahari Bersatu Terengganu, Aidi Ahmad; Penyelaras Armada, Luqman Dazilan dan Penyelaras Sri Kandi, Roslilawati Moktar.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, BPN sentiasa mendukung penuh Perlembagaan parti dan tidak akan bersetuju dengan perbuatan melanggar Perlembagaan tersebut.
"Kita bersetuju tindakan sewajarnya diambil supaya semua ahli patuh kepada Perlembagaan parti.
"Kita telah menerima maklum bahawa lima ahli Parlimen yang telah melanggar Perlembagaan sudah terhenti keahlian menurut peruntukan parti dan kami bersetuju dengan tindakan tersebut. BPN akan sentiasa patuh kepada keputusan pimpinan parti demi perpaduan dan kesatuan," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!