Kerajaan hantar pulang PATI dari Indonesia bermula minggu depan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Fasa pertama penghantaran pulang pendatang tanpa izin akan bermula pada 6 Jun dengan membabitkan warga Indonesia yang berada di depot imigresen di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan pertama melibatkan 450 individu akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun diikuti 445 orang lagi pada 10 Jun ke destinasi sama.

Beliau berkata, proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut dengan 1,294 pendatang tanpa izin dijadual berlepas ke Medan pada 22 Jun.

"Kesemua mereka yang akan dihantar pulang akan menjalani ujian Covid-19 dengan pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dijemput untuk turut berada semasa ujian dijalankan," katanya pada sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Katanya, fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 pendatang tanpa izin yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan.

Ismail Sabri berkata, KBRI juga dibenarkan untuk membuat lawatan konsular bagi urusan dokumentasi pendatang yang belum mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen juga sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh mengenai penghantaran pulang 246 orang warga Nepal dan 2,476 orang warga Bangladesh.

"Terbaharu, Kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di depot tahanan Imigresen," katanya sambil menambah kedutaan-kedutaan lain diminta tampil untuk berbincang mengenai penghantaran pulang warga mereka yang masih ditahan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai saringan Covid-19 ke atas pendatang asing di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA, katanya, kesemua 4,807 orang telah disaring dengan 385 daripadanya didapati positif, manakala 37 masih menunggu keputusan.

"Kesemua mereka (yang positif) telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Serdang untuk rawatan. Seramai 26 orang telah discaj dan dalam proses penghantaran pulang ke negara asal," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, tindakan mengesan dan menahan pendatang tanpa izin akan terus dilaksanakan Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa terlibat tanpa mengira mana-mana kawasan.

Ini berikutan terdapat laporan bahawa pendatang terbabit kini dilaporkan mula 'beralih angin' menjadikan pinggir bandar sebagai penempatan mereka antaranya Sungai Buloh, Sungai Besi, Pekan Subang Lama, Serdang dan Klang.

Bagaimanapun, katanya, sebuah video yang tular baru-baru ini yang menunjukkan terdapat perkampungan Bangladesh di Sungai Buloh adalah video lama.

"Kadang-kadang ada video benar, ada yang palsu. Kalau yang benar, kita ucapkan terima kasih dan pihak berkuasa tentu sahaja akan mengambil tindakan segera," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!