SOP khas PRK Chini jadi penanda aras masa depan
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai ini akan menjadi penanda aras untuk melaksanakan PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika negara menghadapi pandemik.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi.
"PRK Chini ini kita akan laksanakan dengan SOP yang baharu. Sekiranya ada apa-apa pilihan raya di masa hadapan pandemik Covid-19 ini masih berleluasa dan tidak dapat dikekang, saya rasa SOP tersebut akan terpakai pada setiap pilihan raya yang akan datang," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, Azhar berkata, SOP tersebut akan diperbaiki dari masa ke masa dengan mengambil maklum situasi dan keadaan terkini yang berlaku pada ketika itu.
SOP yang dikemukakan dalam libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu meliputi tujuh proses pilihan raya iaitu hari penamaan calon, percetakan kertas undi, pengeposan kertas undi pos, hari mengundi awal, tempoh berkempen, hari mengundi dan pada sebelah malam ketika keputusan diumumkan.
"Kita telah mengadakan perbincangan sebanyak dua kali dengan mereka (KKM, MKN, Nadma, PDRM) pada 8 dan 21 Mei mengenai SOP khas ini namun belum dimuktamadkan lagi kerana ia tertakluk kepada situasi semasa arahan kerajaan mengenai penularan pandemik Covid-19 di negara ini," katanya.
Jelasnya lagi, pendekatan SPR pada PRK Chini berteraskan satu tujuan utama iaitu menjamin keselamatan dan kesihatan para pengundi dengan mengambil kira risiko tersebarnya wabak Covid-19.
"Jadi segala SOP dan tatacara perjalanan pilihan raya di PRK Chini ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko tersebarnya wabak Covid-19 dalam kalangan pengundi serta juga dalam kalangan calon, penyokong dan pekerja pilihan raya," katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada petugas-petugas pilihan raya PRK Chini diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19, Azhar berkata, ia tidak diwajibkan tetapi sebelum memasuki pusat penamaan calon dan penjumlahan undi serta tempat undi awal perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan sosial.
SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK itu pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.
PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.
Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU11 pada 2004.
DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!