Hishammuddin disaran jalani kuarantin 14 hari

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dinasihati untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas seorang daripada kakitangan kementerian itu disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Hishammuddin dalam satu kenyataannya berkata, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes positif Covid-19 melibatkan seorang kakitangan kementerian itu pada Jumaat.

Beliau berkata, kes itu merupakan kes pertama di Wisma Putra dan individu terbabit dikesan positif Covid-19 menerusi satu saringan kesihatan yang dijalankan KKM di Wisma Putra.

“Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom Covid-19 seperti demam, selsema, batuk atau sakit tekak. Beliau kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Wisma Putra telah mengenal pasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di Wisma Putra termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat (close contact) dengan individu yang positif Covid-19 ini.

“Kesemua kontak rapat ini telah diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM pada hari ini, 30 Mei 2020. Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, susulan pengesanan kes pertama itu, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dilakukan dengan serta-merta.

Menurutnya, semua tindakan yang diambil Wisma Putra adalah berpandukan Standard Operating Procedures (SOP) Pencegahan Penularan Pandemik Covid-19 seperti yang ditetapkan KKM.

Artikel Berkaitan:

“Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan-pelanggan Kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memastikan penjarakkan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

“Wisma Putra komited untuk memastikan premis dan seluruh warganya bebas dari Covid-19. Untuk itu, Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi menangani penularan Covid-19 termasuk di Kementerian ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!