Gandingan pakej pelancongan Jempol
JEMPOL - Beberapa produk dan lokasi menarik yang terdapat di daerah ini akan digandingkan menjadi satu pakej lengkap produk pelancongan Jempol.
Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, antara lokasi yang telah dikenal pasti adalah Bukit Penarikan, Teratak Zaaba, Homestay Lonek, Kedai Asap Wan dan Laluan Bersejarah Penarikan.
"Saya harap masyarakat setempat dapat melihat potensi lokasi masing-masing yang boleh dijadikan sebagai lokasi pelancongan menarik di Jempol.
"Dalam masa sama, ia boleh membantu menjana ekonomi penduduk hasil produk tempatan yang dijual," katanya selepas menyempurnakan Program Dakian Santai anjuran Jawatankuasa Pelancongan Majlis Daerah Jempol dengan kerjasama Pusat Komuniti Desa (PKD) Serting Ilir, semalam.
Sementara itu, sekumpulan pendaki lelaki dan wanita hadir mengenakan busana tradisional.
Keunikan dan kelainan yang dipamerkan mereka berjaya menarik perhatian peserta lain yang mengikuti program berkenaan.
Raja Norazli berkata, program dianjurkan sempena naik taraf MDJL kepada Majlis Pembandaran Jempol yang akan diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 29 Januari nanti.
"Usaha ini memberi peluang kepada saya meninjau lokasi dan laluan Bukit Penarikan ini yang akan diketengahkan sebagai salah satu lokasi pelancongan di dalam daerah Jempol, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!