Perkasa bidang keusahawanan

Universiti Malaysia Kelantan
Universiti Malaysia Kelantan
A
A
A
KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus komited memperkasa bidang keusahawanan dengan mengadakan Seminar Keusahawanan dan Perniagaan Antarabangsa (ISEB) kali ke-6 di sini, hari ini.

Naib Canselornya, Datuk Husaini Omar berkata, seminar itu dengan kerjasama Universitas Jayabaya dan Universitas La Tansa Indonesia adalah platform perkongsian kajian terbaharu dalam bidang keusahawanan.

"Program ini adalah antara usaha UMK bagi memperkasa bidang keusahawanan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0. Platform sebegini mampu membuka ruang kepada UMK khususnya Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) membina jaringan dan kerjasama dengan pemain industri dan institusi yang berkaitan dalam perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Tiga sesi pembentangan dan forum perbincangan berhubung bidang keusahawanan diadakan sepanjang seminar berlangsung oleh beberapa panel jemputan termasuk Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, dunia perniagaan semakin mencabar dan melalui persaingan yang sengit namun sikap tidak berputus asa perlu menjadi asas kuat untuk berjaya.

"Platform membeli belah secara atas talian juga makin mendapat perhatian. Keadaan ini menuntut usahawan lebih kreatif dan bergerak seiring perkembangan teknologi tanpa meminggirkan nilai moral," katanya.

Menyentuh berhubung revolusi industri 4.0 beliau yakin masyarakat akan mampu menyesuaikan diri dengan peralihan tersebut seperti mana yang dilakukan masyarakat terhadap perkembangan teknologi ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!