RUU tangani kesan Covid-19: Orang ramai diminta beri cadangan
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengalu-alukan orang ramai memberi cadangan dan saranan untuk penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan koronavirus (Covid-19).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penggubalan RUU itu merupakan komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri.
“Selari dengan keputusan Mesyuarat Penggubalan RUU Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Covid-19 pada 28 Mei lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku penyelaras langkah penggubalan ini telah menyediakan pautan bagi sesiapa yang mempunyai saranan atau cadangan untuk RUU tersebut.
“Perlu diingatkan, segala cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua pemegang taruh termasuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu dan pihak berkepentingan boleh berbuat demikian menerusi http://www.bheuu.gov.my/index.php/ruu-covid19 bagi tindakan seterusnya sebelum atau pada 5 Jun ini.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!