Masjid di Turki dibuka semula

Jemaah memakai topeng muka menjaga jarak sosial ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Fatih, Istanbul semalam. - Foto AFP
Jemaah memakai topeng muka menjaga jarak sosial ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Fatih, Istanbul semalam. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Masjid-masjid di Turki dibuka semula semalam untuk solat berjemaah selepas lebih dua bulan ditutup sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19).

Sejak bulan ini, Turki telah berubah menjadi normal baharu dengan melonggarkan 'lockdown' dan membuka semula pusat beli-belah serta kedai gunting rambut.

Menurut Presiden Recep Tayyip Erdogan, banyak lagi tempat lain seperti restoran dan kafe, perpustakaan, taman serta pantai akan dibuka semula mulai Isnin ini.

Masjid Biru bersejarah di Istanbul kembali hidup apabila ratusan jemaah hadir dengan memakai topeng muka untuk menunaikan solat jemaah di luar masjid tersebut buat pertama kalinya pada hari pertama sejak ia ditutup pada Mac lalu.

Di Masjid Fatih, jemaah menunaikan solat di dalam dan di luar masjid dengan pihak berkuasa menyediakan cecair nyahkuman dan permaidani pakai buang.

"Sudah lama saya menunggu saat ini. Saya juga tidak putus berdoa. Ia seperti kelahiran baharu. Alhamdulillah, Dia kembalikan lagi kami ke sini," kata seorang jemaah, Gulcek Uyanik, 55.

Setakat ini, Turki mencatatkan sebanyak 162,120 kes dan 4,489 kematian. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!