Cetus Perang Dingin Kedua?

Para pemimpin di Washington DC serta Beijing perlu sedar dalam era globalisasi dan dunia yang saling bergantung antara satu sama lain fenomena Perang Dingin tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak. - Foto 123RF
Para pemimpin di Washington DC serta Beijing perlu sedar dalam era globalisasi dan dunia yang saling bergantung antara satu sama lain fenomena Perang Dingin tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak. - Foto 123RF
A
A
A

PADA 24 Mei, Menteri Luar China, Wang Yi telah mengeluarkan kenyataan bahawa Perang Dingin baharu akan berlaku akibat tekanan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China.

Tekanan yang dimaksudkan oleh Wang Yi termasuk perang perdagangan, perbalahan di antara AS dan China, mengenai isu penularan virus Covid-19, hak asasi manusia serta layanan terhadap masyarakat Uighur di Xinjiang dan terkini isu penggubalan undang-undang keselamatan nasional oleh Beijing serta status Hong Kong.

Menurut Menteri Luar China lagi, negaranya tiada hasrat untuk mencabar AS dan tegas beliau kepada AS supaya jangan cuba untuk mengubah China serta menghalang penduduknya untuk maju ke arah modernisasi.

Perang Dingin merupakan fenomena yang berlaku dalam politik antarabangsa melibatkan persaingan kuasa dan ketegangan di antara AS dengan Kesatuan Soviet (USSR). Perang Dingin meletus selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945 sehingga kejatuhan USSR pada 1991.

Sejak kebelakangan ini ada beberapa orang penganalisis politik dan sarjana telah meramalkan berlakunya Perang Dingin Kedua atau Perang Dingin Baharu. Bagaimanapun, para sarjana politik antarabangsa bercanggah antara satu sama lain mengenai idea Perang Dingin Kedua. Ada pula sarjana yang menyarankan Perang Dingin Kedua akan melibatkan persaingan antara AS dengan pakatan Rusia-China.

Tidak kira pendapat sesiapa yang tepat, sudah pasti Perang Dingin Baharu berbeza dengan yang lama. Antara ciri-ciri utama Perang Dingin AS-USSR adalah perlumbaan senjata seperti senjata nuklear serta peperangan proksi seperti Perang Korea, Perang Vietnam dan Perang Afghanistan. Selain itu, Perang Dingin AS-USSR merupakan persaingan pengaruh ideologi antara demokrasi liberal yang diperjuangkan oleh AS dengan komunisme yang disokong oleh USSR. Bagaimanapun, Perang Dingin Baharu akan lebih tertumpu kepada persaingan dari segi perdagangan seperti mengenakan sekatan ekonomi, tarif, menarik keluar pelaburan syarikat multinasional.

Selain itu, Perang Dingin Baharu akan menyaksikan media sosial menjadi medan peperangan kuasa-kuasa besar serta kumpulan yang berkepentingan. Tujuannya adalah untuk memperkukuhkan pengaruh sendiri serta melemahkan pihak lawan dengan menyebar berita sama ada benar atau palsu.

Dalam era globalisasi Perang Dingin Baharu tidak akan terhad kepada pelaku negara tetapi juga melibatkan pelaku-pelaku bukan negara yang berkepentingan seperti syarikat multinasional, kumpulan media, blogger.

Artikel Berkaitan:

Penularan

AS dan China masih meneruskan persaingan walaupun sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. AS telah menyalahkan China sebagai punca penularan virus Covid-19. Menurut AS pada peringkat awal pandemik kerajaan China telah cuba merahsiakan informasi berhubung wabak sehingga ia tidak terkawal.

Ada sesetengah senator AS mendesak agar tindakan undang-undang dikenakan atas China serta meminta China membayar ganti rugi. Kementerian Luar China menafikan dakwaan tersebut sebaliknya telah membalas dakwaan bahawa virus Covid-19 sebenarnya berpunca daripada tentera AS yang menjalani latihan ketenteraan di Wuhan pada penghujung 2019.

Di samping tuduh-menuduh, kedua-dua negara kini sedang berlumba untuk menghasilkan vaksin penawar bagi Covid-19 lebih awal. Penghasilan vaksin bukan lagi sekadar penawar tetapi sudah menjadi kebanggaan nasional seperti mana Perang Dingin pada 1960-an ketika AS dan USSR masing-masing berlumba-lumba untuk sampai ke angkasa lepas.

Para pemimpin di Washington DC serta Beijing perlu sedar dalam era globalisasi dan dunia yang saling bergantung antara satu sama lain fenomena Perang Dingin tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak.

Oleh itu, sebarang konflik seperti Perang Dingin Kedua yang melibatkan dua gergasi ekonomi dunia pasti akan merugikan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!