Covid-19 lunturkan sikap fanatik mazhab

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

WABAK Covid-19 yang melanda Malaysia sejak tiga bulan lalu seakan-akan menggugat pemikiran dan pemahaman umat Islam terhadap rutin ibadah yang mereka pegang sejak zaman-berzaman.

Antara persoalan yang hangat diperdebatkan ialah tentang jumlah jemaah solat Jumaat yang dibenarkan hadir iaitu seramai 12 orang sahaja.

Situasi ini disebabkan normal baharu tersebut tidak pernah dihadapi oleh umat Islam di Malaysia yang rata-rata berpegang kepada Mazhab Syafie yang menjadikan jumlah 40 orang sebagai syarat sahnya solat Jumaat.

Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, ulama dan umat Islam mula menerima perbezaan pandangan walaupun hakikatnya mereka berbeza mazhab.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ulama sedunia termasuk Syeikhul Azhar dan badan-badan berautoriti dalam bidang agama kini seolah-olah sepakat berhubung normal baharu dalam ibadah seperti solat Jumaat dan solat berjemaah.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Dr Zulkifli yang merupakan mufti pertama dilantik sebagai menteri dalam sejarah moden Malaysia turut menyentuh pelbagai isu termasuk cabaran dan perancangan untuk memartabatkan Islam di negara ini.

SINAR AHAD: Banyak hikmah di sebalik PKP dan Covid-19. Apakah yang boleh kita pelajari daripada wabak ini?

DR ZULKIFLI: ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 191, “(Iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Artikel Berkaitan:

Imam al-Tabari menyebutkan bahawa perkataan ‘ini’ dalam ayat ini merujuk kepada ciptaan ALLAH di langit dan bumi bukanlah sesuatu yang sia-sia. Apa-apa sahaja ciptaan ALLAH SWT ada manfaat dan hikmahnya.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Syarh ayat 5 hingga 6, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Antara hikmah terbesar di sebalik wabak ini ialah terbukanya pintu bagi orang ramai untuk melakukan amal kebaikan dan bersedekah. Alhamdulillah, kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan misi #MUSAADAHCOVID19 sejak 18 Mac 2020.

Sehingga semalam, sudah lebih RM140 juta dibelanjakan untuk rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, warganegara atau tidak, asalkan mereka layak dan memerlukan bantuan.

Begitu juga kita sudah mula dapat menerapkan dalam kehidupan kita normal baharu. Ini termasuklah dalam acara ibadat dan berhari raya.

Sejauh manakah penularan Covid-19 mempengaruhi pandangan hukum-hakam Islam di Malaysia. Apakah isu-isu tersebut?

Saya amat terharu dengan kesungguhan para ashabus samahah mufti-mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja yang berhempas pulas berbincang dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia khususnya berkaitan ibadah dalam suasana normal baharu ini.

Banyak hukum-hakam baharu yang diputuskan dan menarik untuk kajian generasi akan datang. Antaranya, penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah di masjid dan surau, solat dengan jarak satu meter, ujian swab ketika berpuasa dan lain-lain.

Hal ini seolah-olah berlaku kesepakatan oleh ulama dunia termasuk Syeikhul Azhar dan badan-badan berautoriti dalam bidang agama.

Sesetengah orang tertanya-tanya mengapa hukum boleh berubah-ubah, dulu tak boleh sekarang boleh. Contohnya, dulu solat Jumaat kena ada 40 jemaah, sekarang cukup 12 orang. Sebenarnya, apakah jenis-jenis hukum Islam yang boleh berubah dan apakah prinsip-prinsip yang harus diikuti?

Terdapat sebuah kaedah fiqh yang menyebut: tidak ditolak berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa.

Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata, tidak ditolak berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian kedua-duanya berubah kepada uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati uruf dan adat yang baharu itu.

Kita dapat melihat bahawa Imam Syafie sendiri mempunyai qaul qadim (pendapat yang lama) dan qaul jadid (pendapat yang baharu) yang terhasil daripada perbezaan tempat beliau mengeluarkan pandangan tersebut.

Qaul qadim adalah pendapat yang beliau kemukakan semasa berada di Iraq manakala qaul jadid adalah pandangan beliau semasa berada di Mesir.

Namun, perlu diingat bahawa yang dimaksudkan dengan perubahan hukum disebabkan peubahan masa dan tempat adalah pada hukum-hukum yang al-mutaghayyirat (yang boleh berubah).

Ada pun pada perkara-perkara al-tsawabit (yang tetap dan kekal) seperti pensyariatan solat, puasa, keharaman zina, minum arak dan seumpamanya, maka ia sama sekali tidak berubah mengikut perubahan masa dan tempat.

Banyak normal baharu agama semasa Covid-19 dikatakan menggambarkan betapa Islam itu agama yang fleksibel dan tidak sempit. Ini termasuk majlis akad nikah menerusi sidang video, zakat fitrah secara online dan khutbah Aidilfitri di rumah. Apa komen Datuk Seri?

Kami katakan sifat agama Islam lengkap, mencakupi, syumul, dan sesuai sepanjang zaman serta semua tempat kerana ia daripada Tuhan sekalian alam. Kita sedang menuju kepada budaya normal baharu dalam beragama. Ini satu bukti yang jelas bahawa Islam itu walaupun tidak berubah pada dasar akidahnya, tetapi masih fleksibel pada ruang-ruang pengamalan syariatnya.

Dr Zulkifli menyambut Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian secara normal baharu pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kedutaan Besar China kepada JAWI Food Bank di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
 - Foto Bernama
Dr Zulkifli menyambut Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian secara normal baharu pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kedutaan Besar China kepada JAWI Food Bank di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
 - Foto Bernama

Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan cara kerajaan menangani isu-isu Covid-19? Sebagai mufti pertama dilantik sebagai menteri, bagaimana Datuk Seri akan berperanan bagi memastikan dasar-dasar kerajaan mematuhi apa yang terkandung dalam maqasid syariah?

Pendekatan kita adalah antara yang terbaik di dunia. Pakar-pakar kita adalah antara yang terbaik dunia. Kerja berpasukan barisan hadapan dan kerjasama rakyat Malaysia disebut-sebut oleh dunia. Alhamdulillah, kerajaan amat menitikberatkan aplikasi maqasid syariah dalam pentadbiran. Apa-apa urusan yang melibatkan kemaslahatan rakyat, itulah yang diutamakan. Kami katakan asas pertimbangan utama adalah membawa kemaslahatan untuk rakyat.

Hal ini berbetulan dengan kaedah: polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah rakyat.

Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah ialah ‘mendatangkan manfaat dan menghalang kemudaratan’.

Justeru, sebarang perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, ia dianggap sebagai maslahah.

Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafie, tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka, difahami secara mafhum mukhalafah bahawa mentaati arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah adalah wajib.

Melihat kepada perkembangan kes Covid-19 yang semakin meningkat di Arab Saudi dan di seluruh dunia, apakah peluang untuk rakyat Malaysia menunaikan haji pada tahun ini? Apakah jangkaan mengenai SOP dan normal baharu yang bakal dilalui jemaah jika musim haji diteruskan?

Saya belum mendapat apa-apa makluman rasmi daripada pihak kerajaan Arab Saudi. Jadi, saya tidak dapat beri komen lanjut.

Isu arak dan pemandu mabuk adalah perkara yang serius dan perlu ditangani segera oleh kerajaan. Apakah tindakan Datuk Seri selaku Menteri yang menjaga portfolio Hal Ehwal Agama?

Saya amat bersetuju dengan langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bagi menyegerakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta aspek perundangan lain seperti pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan.

Tanggungjawab memelihara nyawa (hifz al-nafs) adalah salah satu keutamaan dalam maqasid syariah dan perlu diambil berat oleh kerajaan agar isu ini dapat dirawat hingga ke akar permasalahannya.

Pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersedia untuk meneliti isu ini dari sudut sosial, etika dan moral. Kita sedia memberi idea dan buah fikiran yang terbaik untuk memastikan isu ini dapat ditangani sesegera yang mungkin.

Semoga usaha bersama kita dapat memberikan solusi terbaik dan akan membantu menyelesaikan permasalahan ini, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Semasa ucapan pertama Datuk Seri ketika mula-mula memegang jawatan, Datuk Seri ada sebutkan tentang transformasi yang ingin dilakukan dalam institusi agama. Apakah yang Datuk Seri ingin bawa?

Insya-ALLAH blueprint akan siap sedikit masa lagi. Saya suka meneliti firman ALLAH SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 58, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Ada lima kata kunci yang boleh kita ambil dalam ayat al-Quran tersebut sebagai panduan bagi pentadbiran Islam yang progresif dan efektif iaitu kemahiran komunikasi (al-amr), integriti dan akauntabiliti (al-amanah), kepakaran (ahliyyah), kemahiran membuat keputusan (al-hukm) dan adil (al-‘adl).

Institusi agama yang berjaya perlu ada identiti, nilai, platform, sentiasa ada solusi bagi permasalahan dan sentiasa memikirkan persoalan what’s next?

Saya bersetuju dengan pandangan Ziauddin Sardar dalam bukunya, Islamic Futures: The Shape of Ideas to Come bahawa masa hadapan boleh dikawal dan dibentuk selari dengan matlamat dan kehendak masyarakat. Ya, memang masa depan adalah di bawah kehendak dan kekuasaan-Nya, namun ALLAH SWT tidak mengarahkan kita untuk berhenti berusaha.

PROFIL

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Jawatan sekarang: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Umur: 51 tahun (1969)

Asal: Kuala Terengganu

Isteri: Datin Seri Shereen Mohd Yunos

Anak: 5 orang

Pendidikan

- Doktor Falsafah (PhD), Universiti Sains Malaysia (2004)

- Sarjana Syariah, Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah, Syria (1997)

- Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah (1993)

Pengalaman

- Mufti Wilayah Persekutuan (2014-Mac 2020)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!