Tidak puas mengajar dalam talian
KUANTAN - Kaedah pembelajaran bersemuka lebih memberi kepuasan kerana dapat berinteraksi dengan penuntut berbanding melalui secara dalam talian.
Pensyarah Kuliah Pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Khairulbariah Chi Adam berkata, bagaimanapun pengajaran dan pembelajaran perlu diteruskan selain semua pensyarah perlu menerima kekurangan dan kelebihan kaedah itu.
"Terdapat 150 penuntut yang akan mengikuti kuliah pergigian saya dan pada satu sesi hanya 10 penuntut yang akan mengikuti kuliah dalam talian.
"Setiap hari saya perlu meluangkan masa tiga hingga tujuh jam untuk mengajar penuntut tahun satu hingga tahun lima membabitkan pendidikan teori dan praktikal," katanya ketika ditemui di UIAM semalam.
Beliau berkata, setiap kali kuliah bermula penuntut akan menyalin nota yang diberikan dan memberi penerangan.
Jelasnya, bagi sesi latihan praktikal beberapa peralatan terpaksa digunakan bagi memastikan penuntut mudah faham dan dapat melihat dengan jelas seterusnya mampu melakukannya dengan berkesan.
"Walaupun agak terhad dari segi perhatian terhadap setiap penuntut, namun sebagai pensyarah saya perlu berusaha memastikan semua mereka faham dan mampu melakukannya apabila menamatkan pengajian nanti," katanya yang turut bertugas di Pusat Perubatan UIAM Kuantan.
Sementara itu, seorang lagi pensyarah, Dr Ahmad Faisal Ismail, 35, berkata, walaupun penuntut berada jauh di kampung namun sebagai pensyarah beliau perlu menganggap mereka berada dalam dewan kuliah.
Menurutnya, tumpuan terhadap pada seseorang penuntut tidak dapat dilakukan berbanding ketika mengajar di dewan kuliah.
"Jadi, saya sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada penuntut kerana mahu melihat mereka berjaya dalam peperiksaan.
"Saya berusaha menyediakan semua peralatan bantu mengajar termasuk replika yang diperlukan supaya latihan praktikal dapat berjalan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!