Hotel tutup: Apa jadi dengan yang hilang kerja?

Pekerja hotel dikatakan antara yang paling teruk terjejas apabila ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja. - Foto 123RF
Pekerja hotel dikatakan antara yang paling teruk terjejas apabila ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan koronavirus (Covid-19) menyaksikan satu demi satu hotel terpaksa mengambil keputusan perit dengan menghentikan operasi mereka susulan impak pandemik tersebut terhadap industri perhotelan negara.

Ini bermakna, ribuan atau mungkin puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan apabila hotel atau pusat penginapan tersebut gulung tikar, malah ada mula mencongak nasib mereka yang bagaikan telur di hujung tanduk.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pekerja-pekerja hotel adalah antara yang paling teruk terjejas dengan ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja.

Beliau difahamkan lebih 30,000 orang di dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.

"Dari 18 Mac hingga 27 Mei, MTUC sendiri melalui MTUC Covid-19 Helpdesk menerima sebanyak 678 aduan kes dari sektor hotel iaitu pemotongan gaji (383 kes), pembuangan kerja (186), paksa cuti tanpa gaji (37), paksa cuti tahun (54) dan lain-lain perihal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 17 kes.

"Hentikan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi slot kekosongan kerja di dalam negara bagi memastikan kelangsungan kehidupan bekas pekerja hotel ini," katanya kepada.

Abdul Halim yang juga Pengerusi GiatMara berkata, pekerja hotel disarankan supaya diberikan kursus kemahiran di GiatMara atau kolej kemahiran berkaitan untuk menjadi usahawan dan dapat menukar profesion.

"Kerajaan mesti mencari kaedah untuk membantu pekerja hotel dan industri yang sama bagi membantu dan melindungi modal insan negara ini, kerajaan mesti menentukan tenaga kerja negara ini mendapat kerja semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan harus menggubal pelan induk demi kelangsungan industri perhotelan yang terjejas teruk, dengan satu pelan jangka pendek harus merangkumi kempen menggalakkan pelancongan domestik bagi membantu merancakkan tempahan bilik hotel dan mengekalkan pekerja industri terbabit.

"Selain itu, pemilik hotel juga patut menawarkan diskaun dan faedah lain untuk menarik pelanggan manakala kerajaan pula patut menawarkan potongan bil elektrik dan air serta potongan cukai pendapatan untuk meringankan beban pemilik hotel... bagaimanapun segala imbuhan dan keistimewaan itu dengan syarat hotel mengekalkan pekerja untuk tempoh tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rusli Affandi berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat membantu mereka yang diberhentikan kerja dengan memberikan lesen untuk berniaga secara kecil-kecilan bagi meraih pendapatan dan memulakan kehidupan baharu.

Sektor perhotelan sukar bangkit dalam masa terdekat berikutan sekatan kawalan sempadan membabitkan tetamu antarabangsa untuk datang melawat dan kawalan rentas sempadan bagi tetamu tempatan. Gambar hiasan.
Sektor perhotelan sukar bangkit dalam masa terdekat berikutan sekatan kawalan sempadan membabitkan tetamu antarabangsa untuk datang melawat dan kawalan rentas sempadan bagi tetamu tempatan. Gambar hiasan.

"Mereka yang begitu lama di dalam industri perhotelan agak sukar untuk menukar bidang dalam masa terdekat. Dengan lesen berniaga, dapatlah mereka melunaskan pinjaman termasuk yuran anak-anak yang masih belajar dan paling penting untuk mereka mulakan hidup baharu.

"Sebelum ni merekalah duta-duta kecil yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui tanggapan pertama apabila tetamu menginap di hotel tempat mereka bertugas," katanya sambil mengingatkan semua ahli kesatuan agar berkongsi jika ada maklumat mengenai tawaran kerja.

Menurutnya, kira-kira 400 daripada jumlah keseluruhan 8,000 ahli berdaftar terjejas dengan penutupan empat hotel iaitu tiga di Melaka dan satu di Petaling Jaya.

"Tetapi pekerja yang bukan ahli kesatuan, ramai yang kena buang kerja cuma kami tidak tahu jumlah sebenar.... kami juga dapati banyak hotel yang terjejas adalah tidak mempunyai kesatuan sekerja," katanya.

Katanya, agak sukar untuk sektor perhotelan bangkit dalam masa terdekat berikutan sekatan kawalan sempadan membabitkan tetamu antarabangsa untuk datang melawat dan kawalan rentas sempadan bagi tetamu tempatan, bakal menyaksikan lebih banyak hotel terjejas.

Sementara itu, pekerja sebuah hotel di Pulau Langkawi yang mahu dikenali sebagai Fatin Shuhada, 25, berkata, dirinya diarah mengambil cuti tanpa gaji melalui aplikasi WhatsApp dan surat mengenai arahan itu hanya diperoleh selepas dua bulan bercuti tanpa gaji.

"Saya diarah bercuti tanpa gaji selagi hotel belum kembali seperti biasa... tetapi bahagian sumber manusia ada berpesan agar saya jangan meletakkan harapan tinggi kerana ada kemungkinan hotel tidak dapat bertahan.

"Buat masa ini saya tidak ada rancangan lain lagi. Saya hendak cari kerja tetapi sangat susah hendak dapat kerja di Langkawi kerana kebanyakan sumber cari rezeki di sini adalah dalam bidang pelancongan yang mana Langkawi sedang teruk sekarang ini," katanya yang bekerja sebagai pembantu kaunter penerimaan tetamu sejak Ogos tahun lalu.

Azmar Mohd (bukan nama sebenar), 39, dari Kuala Lumpur pula diberhentikan kerja awal Mei sebagai Ketua Jabatan Transformasi di syarikat rangkaian hospitaliti yang menawarkan tempahan bilik hotel dalam talian.

"Sebenarnya, saya ada dua pilihan, sama ada mengambil cuti sementara atau pakej pemberhentian kerja dan awal bulan ini diberhentikan kerja. Syarikat terjejas akibat PKP dan Covid-19 kerana tiada yang ingin melakukan perjalanan dalam negara, ditambah tiada pelancong,” katanya.

Justeru, beliau merancang untuk mencari peluang baharu termasuklah mengikuti pelbagai kursus dalam talian bagi menajamkan kemahiran sedia ada atau menambah skil baharu seperti kursus ditawarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk yang menganggur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!