NGO saran tak perlu adakan PRK di DUN Chini
KUANTAN - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan agar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini terus diwakili calon daripada UMNO sehingga tempoh penggal berakhir mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menunjukkan sokongan pengundi kepada UMNO diwakili Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.
Selain itu, dalam situasi negara masih berusaha mengekang penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19), lebih baik tidak diadakan pertandingan bagi mengelakkan risiko berlaku penyebaran wabak berkenaan.
Presiden Persatuan Pengamal Undang-Undang Generasi Felda Malaysia (PUGFM), Mohd Rosidi Hassan berkata, melalui Muafakat Nasional ketika kini, jangkaan undi kepada UMNO lebih besar.
"Namun begitu, dalam usaha secara bersama untuk menangani ancaman Covid-19, maka menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa berbanding tuntutan-tuntutan dan kehendak yang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: SPR tetapkan pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai
"Ini selaras dengan maqasid syariah yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak diadakan pertandingan bagi mengelakkan bencana lebih buruk kepada rakyat dan negara," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Rosidi berkata , PUGFM sedia maklum bahawa Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku dan kekosongan ini secara congaknya adalah melebihi tempoh dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihan raya umum yang lalu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan satu kaedah lain yang dibenarkan secara perundangan termasuk kemungkinan menjalankan pilihan raya secara dalam talian.
Sementara itu, pandangan sama dilontarkan Kami Anak Felda (KAF) Felda Chini Timur 1 yang turut menyeru Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas tidak bertanding pada PRK Chini, sebaliknya memberi laluan kepada UMNO selaku penyandang kerusi itu.
Pengerusinya, Ahmad Shahril Zailudin berkata, prestasi cemerlang Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun terbukti apabila beliau berjaya mempertahankan kerusi itu selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).
"Kehilangannya amat dirasai terutama bagi rakyat di Gugusan Felda Chini kerana beliau seorang wakil rakyat yang komited dan bertanggungjawab terhadap tugas serta banyak bakti kepada pengundi di sini," katanya.
Ahmad Shahril berkata, sewajarnya ketika ini semua pihak memberi keutamaan kepada usaha melawan pandemik Covid-19 demi keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat.
"Sebaiknya wang yang diperuntukkan untuk PRK digunakan bagi perkara lebih penting termasuk pembangunan ekonomi dan membantu rakyat yang terjejas," katanya.
Bagi Majlis Belia Negeri Pahang, walaupun PRK Chini berlangsung, keputusannya tidak mengubah komposisi kepada kerajaan negeri ketika ini.
Presidennya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, Majlis Belia Negeri Pahang menggesa agar tiada pertandingan pada PRK Chini sebagai usaha mendamaikan suhu politik tanah air serta gencatan senjata politik.
Menurutnya, ia juga mengambil kira situasi negara yang kini masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.
"Kita juga bimbang kemungkinan Covid-19 merebak ketika kempen PRK.
"Kami bukan menidakkan proses demokrasi di negara ini, tapi keselamatan dan kesihatan rakyat dalam usaha bersama memerangi pandemik Covid-19 perlu diutamakan," katanya.
PRK DUN Chini dijadualkan diadakan pada 4 Julai ini ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu.
Pada PRU14, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).
Pada PRK DUN Chini kali ini, Pas mengesahkan tidak akan meletakkan calon bagi membuka jalan kepada BN mewakili Perikatan Nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!