Padah tak pamer tanda harga, peniaga dikompaun

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Temerloh melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan termasuk pematuhan terhadap SHMMP Hari Raya Puasa. Foto: KPDNHEP Temerloh
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Temerloh melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan termasuk pematuhan terhadap SHMMP Hari Raya Puasa. Foto: KPDNHEP Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - Seorang peniaga kedai runcit di Bera dikompaun RM1,000 selepas gagal mempamerkan tanda harga cili kering yang disenaraikan sebagai barang harga terkawal.

Kesalahan dilakukan peniaga berusia 30 tahun itu dikesan hasil pemeriksaan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Temerloh ke atas beberapa premis di daerah itu semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 ini, enam kes diambil tindakan dengan nilai kompaun keseluruhan RM8,500.

Menurutnya, daripada jumlah kes itu, empat kes di Temerloh melibatkan kesalahan di bawah Perenggan 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 kerana tidak mempamerkan tanda harga pada barang harga terkawal.

“Satu kes lagi atas kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual barang harga terkawal (ayam standard) melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Bagi daerah Maran, seorang peniaga dikompaun atas kesalahan di bawah Perenggan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 iaitu tidak mempamerkan tanda harga pada ayam standard,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, peniaga di semua peringkat termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit dinasihatkan agar terus mematuhi undang-undang SHMMP Hari Raya Puasa dan peraturan-peraturan yang sedang dikuatkuasakan KPDNHEP.

“Perlaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa yang berkuatkuasa bermula 20 Mei lalu hingga 3 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan sesuka hati tanpa memikirkan kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa sentiasa berada di lapangan untuk menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan ke atas peniaga bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Sekiranya ada maklumat berhubung penyelewengan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, pengguna diminta mengemukakan aduan di talian dan laman sosial KPDNHEP Cawangan Temerloh di talian 09-2901601 (pejabat) dan talian bebas tol 1-800-88-6800.

“Aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi e-Aduan:https://e-aduan.kpdnhep.gov.my/ atau melalui Facebook https://www.facebook.com/kpdnhep.temerloh.1,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!