Rondaan berkala, pantau tanah runtuh Bukit Antarabangsa: Bomba
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor akan membuat rondaan berkala bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh di perumahan Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa, di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pemantauan itu dilaksanakan sebagai langkah berwaspada berdepan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Kami akan bergegas ke kawasan itu jika hujan lebat turun melebihi setengah jam. Rondaan lain juga akan diadakan di kawasan-kawasan cerun serta berisiko dilanda banjir kilat,” katanya kepada Bernama hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh rumah terjejas tanah runtuh di Taman Kelab Ukay
Jiran kejutkan tidur beritahu tanah runtuh
Besi penahan tanah dipasang di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja pemasangan besi penahan tanah masih dijalankan di belakang kawasan perumahan itu pagi ini.
Beberapa penduduk yang rumah mereka terjejas turut kelihatan berada di kawasan itu bagi memindah serta mengambil barangan milik mereka untuk dibawa ke tempat lebih selamat.
Bernama difahamkan kesemua penduduk terjejas menginap sementara di Hotel De Palma, Ampang di sini, sebelum mereka memilih tempat tinggal untuk tempoh enam bulan sama ada di apartmen atau sebagainya.
Kira-kira 40 penghuni rumah teres dua tingkat di kawasan itu diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan berlaku tanah runtuh awal pagi semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!