PH terbuka terima ADUN pro Tun M

Aminolhuda (tengah) menunjukkan notis pengisytiharan harta ADUN PH di Pejabat Speaker DUN Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Aminolhuda (tengah) menunjukkan notis pengisytiharan harta ADUN PH di Pejabat Speaker DUN Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Pakatan Harapan (PH) Johor membayangkan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seterusnya mengambil keputusan untuk bersama kepimpinan PH di peringkat negeri.

Penyelarasnya, Aminolhuda Hassan berkata, krisis yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat tertinggi parti itu turut memberi kelebihan kepada PH di peringkat negeri.

"Yang keluar PH hendak masuk semula tiada masalah, kita (PH) terima dengan hati terbuka tetapi perlu jadi ADUN Bebas dahulu.

"Saya yakin ADUN yang pro Tun M akan bersama dengan kita (PH) dalam masa terdekat," katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Terdahulu, PH Johor diwakili Aminolhuda menyerahkan notis pengisytiharan harta membabitkan 27 ADUN PH negeri terdiri daripada 14 ADUN DAP, sembilan ADUN Parti Amanah Negara (Amanah) dan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor tidak menolak kemungkinan krisis politik yang di peringkat Pusat akan terjadi di Johor.

"Sekarang ini mereka (pemimpin) di dalam Pakatan Nasional sudah sedar berlaku kepincangan dalam kerajaan yang diambil tanpa mandat rakyat.

"Apa yang berlaku di Pusat tidak mustahil akan terjadi juga di Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

ADUN Parit Yaani itu berpandangan Dr Mahathir mempunyai cara tersendiri dalam mencorakkan politik yang beliau bawa biarpun Bersatu kini panas dengan isu perlucutan jawatan.

"Tun M ada caranya, biarlah dia dengan cara dia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!