'Kalau dah taubat nasuha, apa salahnya terima'
KUALA TERENGGANU - Pemimpin Umno diminta jangan terlalu mengikut perasaan amarah dan kecewa, sebaliknya harus berjiwa besar terhadap bekas ahlinya yang mengambil keputusan melompat parti tetapi berhasrat untuk kembali.
Veteran Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata, berdasarkan pengalaman lalu, banyak berlaku peristiwa ahli parti yang melompat dan kembali diterima Umno.
Menurutnya, rasa kecewa sudah tentu berbekas, namun jika mereka sudah insaf dan kembali rasional serta bertaubat nasuha, Umno harus terbuka untuk menerima mereka kembali ke pangkuan.
“Suatu ketika dahulu, ramai ahli Umno yang melompat ke parti Semangat 46 termasuk Tan Sri Rais Yatim, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad tetapi kita berbesar hati untuk menerima mereka semula.
“Sebelum ini ada yang masuk PKR dan Pas juga. Tiada masalah, kita terbuka lagipun kita nak meramaikan ahli parti. Kalau kita tutup (peluang untuk kembali), nampak kita terlalu keras dan ‘bekeng’, ia tidak akan menguntungkan parti.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Umno lompat parti buat u-turn?]
[ARTIKEL BERKAITAN: Umno bukan rumah tumpangan anak ayam]
“Jadi, saya harap Pemangku Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menerima mereka kembali, kecuali jika mereka sudah beberapa kali melompat, itu tidak wajar kita terima. Kalau ia kali pertama, terimalah dan maafkanlah mereka.
“Mungkin orang akan nampak kita ‘longgar’ dan tiada pegangan, tetapi kalau ada yang benar-benar jujur, insaf, apa salahnya kita terima,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan, tiada ruang bagi Ahli Parlimen BN yang bertindak keluar parti, untuk kembali menyertai Umno.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pandangan akar umbi turut diambil kira kerana ramai tidak bersetuju memberi peluang kedua kepada pemimpin terbabit.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, bagi mengelakkan situasi sama berulang, beliau menyarankan agar Umno mengenakan syarat baharu agar ahli parti itu tidak sewenang-wenangnya melompat parti dan ingin merujuk kembali sesuka hati mereka.
“Tapi, tindakan saman terhadap mereka (Ahli Parlimen yang melompat parti) perlu diteruskan. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Umno kerana menyaman orang yang keluar parti kerana mereka menang atas tiket Umno dan BN.
“Tanpa Umno dan BN, mereka tidak akan menang dan jadi wakil rakyat. Itu yang ahli parti nantikan, saman tetap saman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!