Suami isteri 'PJJ' boleh mohon rentas negeri di balai polis
KUALA LUMPUR - Pasangan yang tinggal berjauhan dan ingin melakukan perjalanan rentas negeri semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh membuat permohonan di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis di seluruh negara.
Ini kerana permohonan rentas negeri khusus untuk perhubungan jarak jauh tidak dapat diakses melalui aplikasi mudah alih Gerak Malaysia buat masa ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan yang tinggal berjauhan perlu membawa surat kebenaran rentas negeri dari mana-mana ketua balai ketika melalui sekatan jalan raya.
"Kerajaan sudah memberikan kebenaran untuk mana-mana pasangan yang tinggal berjauhan melakukan perjalanan rentas negeri esok dan mereka sudah boleh memohon kebenaran pada masa ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Abdul Hamid berkata, permohonan untuk pergerakan rentas negeri di balai polis juga turut merangkumi urusan kecemasan seperti kematian dan mendapatkan perubatan.
"Pada masa ini aplikasi Gerak Malaysia masih boleh dilakukan untuk perjalanan rentas negeri bagi pekerjaan membabitkan 'essential service' (sektor penting)," katanya.
Berkuat kuasa esok semua pasangan yang tinggal berjauhan boleh membuat perjalanan rentas negeri dengan menunjukkan surat kebenaran dari balai polis ketika sekatan jalan raya dan ketika diperiksa oleh pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!