Terjunam ke laut selepas kemalangan
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Sebuah kereta terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi.
Jurucakap bomba berkata, kemalangan itu berlaku dari pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi tadi.
Menurutnya, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20 an cedera ringan.
"Dalam kemalangan ini, dua kereta terlibat namun apabila sampai di lokasi, didapati hanya sebuah kereta sahaja iaitu Toyota Vios. Maklumat dari orang mengatakan, ada sebuah lagi kereta telah terjunam ke dalam laut.
"Maklumat mengenai kereta yang terjunam belum diperolehi dan operasi pencarian sedang dijalankan. Kita mendapat bantuan dari polis marin," katanya ketika ditemui di tempat kejadian tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila Toyota Vios terbabas sendiri di lorong kanan lalu melanggar pembahagi jalan.
Menurutnya, pada ketika itu, ada sebuah kereta datang dari arah belakang lorong yang sama cuba mengelak lalu terbabas ke sebelah kanan.
"Akibat daripada itu, kereta yang belum diketahui jenisnya itu bergesel dengan pembahagi jalan dan hilang kawalan lalu merempuh tembok di sebelah kiri sebelum tercampak ke dalam laut.
"Siasatan awal mendapati, terdapat CCTV di Kilometer (KM) 4.0 iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi kereta itu dipercayai terjatuh. Selain itu, ada satu lagi CCTV di KM 5.3.
"Pihak PLUS dan Jambatan Pulau Pinang telah dihubungi dan rakaman CCTV berjaya mengesan sebuah kereta berwarna putih disahkan telah terjatuh ke dalam laut," katanya.
Menurutnya, sehingga kini, kerja pencarian masih dijalankan dengan bantuan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Kerja-kerja mencari terpaksa dihentikan sementara waktu memandangkan faktor arus air laut deras yang menyukarkan kerja-kerja pencarian.
"Kes belum diklasifikasikan kerana operasi pencarian masih dijalankan. Sementara itu, pemandu Toyota Vios yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!