Pasar Chow Kit mula operasi esok
KUALA LUMPUR - Pasar Raja Bot atau Pasar Chow Kit yang ditutup sejak 29 April lalu akan beroperasi bermula esok mengikut garis panduan bagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, operasi pasar awam itu akan dibuka setiap hari kecuali pada Isnin dan Khamis (untuk disinfeksi) bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.
Menurutnya, pelesen, pekerja dan pengunjung perlu menggunakan laluan utama untuk masuk ke pasar berkenaan bagi memudahkan kawalan dan pemeriksaan suhu dilakukan.
"Peniaga dikehendaki menyediakan sanitizer di kedai masing-masing, memakai pas disediakan bersama penutup muka dan sarung tangan sepanjang berada di pasar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasar Chow Kit tutup 14 hari mulai esok
KKM teruskan saringan Covid-19 di Chow Kit
Mesin sanitasi VBN di Pasar Raja Bot
"Sementara pembeli hanya dibenarkan berada dalam pasar selama 30 minit dan digalakkan memakai topeng muka dengan sentiasa mengamalkan jarak sosial sebagai langkah keselamatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pekerja dan peniaga perlu memakai pas disediakan DBKL sebagaimana kaedah digunakan di Pasar Borong Kuala Lumpur bagi memudahkan pemantauan dengan melibatkan seramai 767 pelesen di kawasan berkenaan.
Katanya, bermula esok juga, pekerja warga asing tanpa permit sah turut tidak dibenarkan bekerja di pasar berkenaan.
"Peniaga mestilah orang tempatan dan hanya pekerja asing mempunyai permit sah dibenarkan bekerja di Pasar Raja Bot," katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan di Pasar Borong Kuala Lumpur setakat ini berjalan lancar dan kebanyakan peniaga patuh arahan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu, larangan pekerja asing di Pasar Borong Kuala Lumpur mula berkuat kuasa selepas tamat tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pasar borong itu.
Langkah itu sebagai mengawal kebanjiran pekerja warga asing yang memonopoli kawasan itu selain membuka peluang kepada orang tempatan memenuhi tenaga kerja di pasar borong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!