27 Kedai Tenaga dibuka bermula esok: TNB
KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membuka semula 27 Kedai Tenaga di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan esok bagi memudahkan pengguna mendapat maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.
Pengguna di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan mula mendapat bil bacaan sebenar mulai esok berikutan pelaksanaan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
“Seramai 3.5 juta pelanggan TNB di dua negeri ini dan Kuala Lumpur juga akan menerima bil bacaan sebenar mereka bermula esok serta mendapat pelarasan kepada bil anggaran yang diberikan TNB sejak Mac lalu,” kata syarikat utiliti nasional itu dalam satu kenyataan hari ini.
TNB berkata, secara amnya, pengguna boleh menjangkakan bacaan bil sebenar mereka akan lebih tinggi daripada bil anggaran kerana bil anggaran adalah berdasarkan penggunaan pada bulan Februari yang lebih rendah berbanding semasa tempoh PKP.
“Sepanjang PKP, penggunaan elektrik di kediaman meningkat antara 20 hingga 50 peratus kerana semua penghuni kediaman berkurung bagi mematuhi PKP dan majoriti pekerja pula bekerja dari rumah,” kata syarikat itu.
Menurut TNB, pembukaan semula Kedai Tenaga itu akan menjadikan sejumlah 119 Kedai Tenaga kembali beroperasi selepas ditutup sementara susulan PKP.
Sementara itu, 26 lagi kiosk pembayaran layan diri TNB akan turut beroperasi semula, yang menjadikan jumlah keseluruhan kiosk yang dibuka semula di seluruh Semenanjung Malaysia sebanyak 83.
Penyambungan semula operasi Kedai Tenaga dari 9 pagi hingga 4 petang kecuali hujung minggu, kiosk TNB antara 8 pagi hingga 8 malam dan bacaan meter ini adalah sejajar dengan status Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang kini berada dalam kategori zon hijau dan kuning penularan wabak Covid-19.
Selain Kedai Tenaga, pelanggan TNB juga boleh mendapat penjelasan mengenai pelarasan bil mereka di talian TNB CareLine 1-300-88-5454.
Antara transaksi lain yang boleh dibuat di Kedai Tenaga adalah pembayaran bil elektrik, pertanyaan bil, permohonan baharu untuk bekalan elektrik, penukaran nama penyewa dan penutupan akaun.
Sementara itu, operasi enam Kedai Tenaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Semenanjung akan hanya bermula pada 9 Jun 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!