Dua Kejuaraan Remaja Dunia ditunda tahun depan
Kejuaraan Badminton Remaja Dunia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Auckland, New Zealand pada September depan ditunda kepada 18 hingga 24 Januari 2021.
Dalam satu kenyataan, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan, hanya pemain yang layak dibenarkan mengambil bahagian pada kejohanan tersebut dan tarikh baharu itu memberi peluang kepada Badminton New Zealand selaku penganjur untuk menganjurkannya dengan baik.
Sebelum kejohanan itu, Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2020 turut akan berlangsung di venue sama mulai 11 hingga 16 Januari tahun depan.
Setiausaha kehormat BWF, Thomas Lund berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Badminton New Zealand menganjurkan satu lagi acara besar yang menampilkan pemain remaja berbakat dari seluruh dunia.
"Selepas mempertimbangkan semua perkara, kami percaya langkah itu adalah pilihan terbaik untuk menghindari sebarang kemungkinan melibatkan perjalanan dan kesan lain berkaitan koronavirus (Covid-19)," kata Lund.
Berkongsi pandangan sama ialah Ketua Eksekutif Badminton New Zealand, Joe Hitchcock yang yakin bahawa pemain dan penyokong akan mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika kejohanan itu berlangsung nanti.
"Pada masa ini, ketidakpastian situasi global adalah sangat mencabar tetapi kami akan bekerjasama dengan BWF dan rakan acara kami mengenai perancangan untuk mengendalikan kejohanan itu," kata Hitchcock.
Sebelum ini, BWF telah menangguhkan kedua-dua kejohanan tersebut kerana pandemik Covid-19 - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!