'Katak politik' mampu runtuhkan kerajaan

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

[LAPORAN KHAS] LOMPAT si katak lompat, lompatlah tinggi-tinggi. Demikian dua rangkap lagu klasik kanak-kanak yang menceritakan perihal si katak yang bergerak dengan cara melompat.

Katak atau nama saintifiknya, Anura merupakan haiwan berdarah sejuk dalam kumpulan amfibia yang hidup dua alam iaitu di darat dan juga air.

Haiwan tidak berekor yang sering dipandang jijik itu bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri dalam menjaga ekosistem terutamanya melibatkan serangga perosak.

Namun, di Australia sejenis katak tebu yang pada awalnya digunakan untuk mengawal serangan kumbang, akhirnya menjadi musuh petani apabila populasinya kian meningkat.

Sama kisahnya di Australia, negara kita Malaysia juga mempunyai sejenis ‘katak’ yang hebat sehingga mampu meruntuhkan kerajaan.

Kisah ‘katak politik’ di Malaysia ini sudah berlarutan sejak sekian lama, namun selepas beberapa pilihan raya umum, katak-katak itu kian menjadi.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘katak politik’ ialah pemain politik yang melompat parti dengan mendakwa memperjuangkan nasib rakyat.

Paling diingati, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, tindakan melompat parti itu telah mengubah tampuk pemerintahan negara apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu selepas lebih 22 bulan memerintah.

Artikel Berkaitan:

Kebiasaannya perbuatan melompat parti lebih banyak berlaku di peringkat negeri seperti pernah dilalui di Perak, Sabah, Kedah dan Melaka.

Tidak bermoral

Namun, tumbangnya PH menyaksikan Perikatan Nasional (PN) dengan kekuatan 113 ahli Parlimen gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak, memerintah negara selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Namun, menghampiri 100 hari pentadbiran PN, sekali lagi pentas politik negara bergegar. Sedihnya, khabar angin ahli politik sedang mencongak strategi politik ketika barisan hadapan negara sedang berhempas pulas melawan virus Covid-19, manakala rakyat jelata berkira-kira duit simpanan akibat tekanan ekonomi.

PH mendakwa mereka kini mendapat sokongan majoriti sebanyak 129 ahli Parlimen dan sedang berkira-kira untuk kembali memerintah negara.

Persoalannya, dari manakah PN dan PH mendapat sokongan majoriti? Inilah yang dinamakan dengan mainan ‘katak politik’ yang lompat sana, lompat sini.

Sivamurugan
Sivamurugan

Penganalisis politik yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, rakyat Malaysia perlu melihat apakah tafsiran melompat parti kepada wakil rakyat dan juga kepada rakyat.

“Kalau kita lihat dalam kalangan wakil rakyat, ia dianggap menjadi satu amalan yang tidak hilang nilai demokrasi. Pemain politik pula mempunyai tafsiran sendiri berhubung tindakan yang mereka lakukan.

“Bagi masyarakat pula, ia seolah-olah mandat mereka tidak dihormati. Ini kerana bila kita melihat kepada pola pengundian, kadang-kadang penyokong mengundi kerana calon, keduanya menyokong parti dan ketiganya menyokong isu yang dibawa.

“Tetapi jika beliau disokong disebabkan oleh parti, maka parti itu akan melihat wakil rakyat tersebut menyalahgunakan amanah yang telah diberikan oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sudah pasti, tegasnya, tanggapan pertama yang dilihat oleh rakyat terhadap budaya melompat parti ini adalah ia satu tindakan tidak bermoral dan menyanggah amanah rakyat.

“Walaupun mereka memberi 1,001 alasan tetapi akhirnya mereka juga perlu akur rakyat memerhatikan tingkah laku ini yang boleh melahirkan kebosanan kepada masyarakat sedangkan ketika ini kita berdepan dengan Covid-19,” katanya.

Cuma Sivamurugan mempersoalkan, adakah budaya melompat parti itu tidak menjadi kesalahan sekiranya memberi manfaat kepada parti baharu yang disokongnya atau sebaliknya.

“Adakah kalau lompat masuk ke PH itu okay tetapi salah untuk ke PN. Atau adakah melompat ke PN itu okay tetapi salah untuk ke PH. Itu yang perlu dijawab oleh ahli politik,” katanya.

Politik matang

Pada bulan Ogos 2012, mendiang Karpal Singh yang sebelum itu Pengerusi DAP memaksa kerajaan Barisan Nasional (BN) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang tindakan melompat parti membabitkan wakil rakyat dan berjanji Pakatan Rakyat (PR) ketika itu akan memberi sokongan kepada kerajaan Pusat.

Ironinya, selepas lapan tahun, PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah masih tidak membawa sebarang usul di Dewan Rakyat bagi meneruskan usaha Karpal untuk mewujudkan Akta Anti-Lompat Parti.

Shamrahayu
Shamrahayu

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berpendapat, undang-undang baharu itu tidak mendatangkan sebarang impak sekiranya pemain politik tiada kematangan dalam berpolitik.

“Sama ada dalam keadaan sekarang atau masa depan, saya sangat konsisten, saya lebih suka kepada sistem parti politik itu diubah dan orang politik itu sendiri berubah daripada kita membuat satu akta baharu.

“Sebabnya undang-undang ini ia akan hanya berkesan sekiranya seseorang itu menghormati prinsip diri dan parti politiknya,” kata Shamrahayu.

Tegasnya, akta baharu juga tidak mampu mengawal dan menghentikan budaya lompat parti, malah bakal memberi kesulitan terutamanya melibatkan kos untuk mengadakan pilihan raya semula.

“Berubah dari segi kematangannya, menghormati prinsip partinya dan parti politik itu sendiri perlu berpegang kepada Perlembagaan dan asas perjuangannya.

“Kalau ada akta, kemudian ramai-ramai lompat parti, maka kerusi itu akan jadi kosong. Situasi itu akan mendatangkan masalah lain kepada kita atau pada perundangan itu sendiri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!