'Tiada lagi semangat sambut lebaran'

Azlan dan isteri menunjukkan jam tangan dan tengkolok milik Mohd Azwan yang maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.
Azlan dan isteri menunjukkan jam tangan dan tengkolok milik Mohd Azwan yang maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kedatangan Syawal pada tahun ini tentunya tidak lagi ceria seperti sebelumnya bagi Azlan Rasidi, 54, dan isterinya, Siti Hajar Harun, 49, apabila anak mereka, Mohd Azwan Azlan, 24, dijemput Ilahi buat selamanya pada 5 Mac lalu.

Azlan berkata, ketiadaan Mohd Azwan amat dirasai seluruh ahli keluarga dan mengakui mereka tidak bersemangat menyambut lebaran.

"Selagi saya masih hidup, ingatan saya terhadap arwah Mohd Azwan tidak pernah terpadam hingga selalu terbayang wajahnya pada setiap masa," katanya kepada Sinar Harian.

Malah, katanya, sebaik pemergian Mohd Azwan dia kerap bermimpi bertemu dengan anak keempat daripada lima beradik itu.

"Semasa tempoh 40 hari arwah meninggal dunia, saya kerap bermimpi bertemunya terutama pada malam Jumaat.

"Saya mimpi arwah datang bertemu saya dan berbual dengannya dan saya bertanya ke mana dia pergi sebab sudah lama tidak kelihatan di rumah.

"Dalam mimpi itu Mohd Azwan memaklumkan dia sudah tiada lagi di sini, sebelum air mata saya gugur sejurus bangun daripada tidur," katanya.

Azlan memberitahu, akibat perasaan rindu terhadap Mohd Azwan dia juga pernah bermimpi bertemu dengan anaknya itu yang memberinya wang tunai.

Artikel Berkaitan:

"Semasa hayat arwah dia memang tidak lokek wang ringgit dan sering belanja kami sekeluarga," katanya.

Katanya, Allahyarham Mohd Azwan disifatkan sebagai seorang anak bertanggungjawab, rajin bekerja dan mendengar nasihat.

"Sebelum kematian arwah saya nampak dia baring di ruang tamu dan terdetik dalam hati saya bagaimana kalau dia pergi buat selamanya meninggalkan kami sedangkan saya amat menyayanginya.

"Namun perancangan ALLAH itu sebaiknya apabila perkara yang saya takuti itu menjadi realiti memeritkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Satu, Sungai Haji Dorani di sini.

Menurut Azlan, paling diingati sepanjang Ramadan ialah kesungguhan Allahyarham Mohd Azwan mencari duit tambahan dengan berniaga di bazar Ramadan dan ekspo raya.

"Kalau pagi dia memandu traktor, manakala sebelah petang pula dia berniaga air balang membantu rakannya," katanya.

Siti Hajar pula berkata, sambutan Aidilfitri tidak lagi bermakna dengan ketiadaan Mohd Azwan yang terlebih dahulu menemui Pencipta.

Katanya, dia masih menyimpan tengkolok dan jam tangan pemberian Mohd Azwan sebelum meninggal dunia.

"Kenangan dua barang ini masih saya kenang, apatah lagi arwah membeli jam tangan itu semasa mendapat gaji sebulan sebelum kematiannya, manakala tengkolok pula dia membelinya sewaktu berniaga di Simpang Lima.

"Setiap kali melihat barang peninggalan arwah air mata saya menitis apatah lagi dia sudah pergi buat selamanya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohd Azwan maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis hari jadi bertukar majlis tahlil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!