Sultan Selangor perkenan solat Jumaat di 39 masjid
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat didirikan di 39 buah masjid di negeri ini.
Namun begitu, jumlah jemaah yang dibenarkan hadir bagi mengerjakan solat berkenaan adalah tidak melebihi 12 orang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, sehingga kini, Baginda sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak koronavirus (Covid-19) termasuk kes-kes baharu jangkitan di negeri ini yang menunjukkan penurunan.
"Berikutan dengan penurunan kadar jangkitan pada sekitar pertengahan bulan Mei maka pada 14 Mei lalu, Baginda telah memberi perkenan agar solat Jumaat boleh didirikan di 39 buah masjid terpilih di Selangor dengan jumlah yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, seluruh masjid di negeri ini dilarang menunaikan solat Jumaat dan fardu lain secara berjemaah susulan penularan wabak Covid-19 berkuatkuasa sehingga semalam.
Larangan itu dikeluarkan selepas Sultan Selangor mendapatkan nasihat daripada mufti negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Mengulas mengenai solat fardu lima waktu lain, Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut bertitah agar larangan solat berjemaah itu dilanjutkan sehingga 30 Jun kecuali melibatkan 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini.
"Bagaimanapun, bagi melaksanakan tuntutan fardu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardu tetap dilaksanakan dengan seramai tiga orang terdiri daripada imam, bilal dan siak manakala, program-program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Munir memaklumkan bahawa semakan semula pelaksanaan solat secara berjemaah itu akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini.
Katanya, sekiranya penularan wabak Covid-19 didapati menurun secara konsisten, maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah solat Jumaat ditambah dan masjid-masjid dibuka lebih awal khususnya di kawasan yang dikategorikan zon hijau.
" Bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid-masjid, Baginda menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakkan sosial, memakai penutup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak JAIS," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!