Tujuh nelayan Vietnam dicekup

Rashidilhadi (tengah) menunjukkan antara spesies ikan yang dirampas dari bot nelayan Vietnam.
Rashidilhadi (tengah) menunjukkan antara spesies ikan yang dirampas dari bot nelayan Vietnam.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama tujuh awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Terengganu.

Bot terbabit ditahan ketika kapal ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Iman di sekitar perairan Terengganu berjaya mengesan sebuah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bot Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bot Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Bot berkenaan berjaya ditangkap pada jarak lebih kurang 101 batu nautika dari Kuala Kemaman, kira-kira jam 9.25 pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini.

"Kesemua awak-awak termasuk tekong berusia 19 hingga 57 tahun yang diperiksa juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot termasuk peralatan menangkap ikan serta hasil laut seberat lebih kurang 300 kilogram dianggarkan bernilai RM400,000 berserta awak-awak dan tekong dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan1985 dan Akta Imigresen 1959," katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tambah Rashidilhadi, sebanyak 88 tangkapanmelibatkan pelbagai kesalahan direkodkan Maritim Malaysia Negeri Terengganu sepanjang tahun lalu.

"Penahanan bot ini pula adalah tangkapan bot nelayan asing yang pertama di Terengganu bagi tahun ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!